Penghasilan kostum memerlukan perekanya memiliki pengetahuan daripada aspek seni dan budaya, bukannya sebuah karya syok sendiri.
Pentingnya nilai seni itu, hingga kostum turut dipertandingkan pada pertandingan Ratu Dunia, dalam mengenali budaya masyarakat diwakili Ratu sesebuah negara.
Pereka kostum Akma Suriati Awang, 54 berkata elemen budaya dan praktikaliti, perlu diambil kira sebelum menampilkan rekaan kustom. Sebagai contoh, katanya untuk program di televisyen, tumpuan perlu diberikan terhadap rupa yang realistik dan tempoh pemakaian kostum berkenaan.
“Aspek budaya dan memiliki objektif dalam setiap karya perlu diberikan keutamaan supaya pakaian itu kelak mampu memberi kesan di hati penonton.Ia berbeza bagi pereka fesyen yang mana mereka harus mencipta pakaian atau look seperti seluar, aksesori dan kasut untuk pengguna,” katanya kepada Utusan Malaysia.
CIRI-CIRI
Berpengalaman lebih tiga dekad dalam dunia seni dan penghasilan kostum, Akma menyifatkan pengetahuan teknikal dan bakat artistik dimiliki turut dianggap suatu bonus kerana elemen itu berupaya menampilkan kostum yang ‘hidup’ dan diingati orang ramai.
Mengambil contoh penghasilan kostum ayam jantan untuk salah seorang penyanyi dalam program The Masked Singer, Akma berkata ada penonton cilik menangis apabila peserta yang memakai kostum itu tewas awal, menyebabkan kostum ayam jantan itu tidak akan ditonton lagi.

“Reaksi sebegitulah membuatkan seseorang pereka itu berasa bangga. Hasil kreativiti dihargai,” katanya.
MINAT
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Lukis dan Seni Reka dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini, mewarisi bakat seni daripada kedua ibu bapanya yang berkhidmat sebagai guru seni.
Usai pengajian beliau menyertai temasya sukan SEA 1992. Maskot burung kasawari dalam sukan itu adalah hasil kreativiti sulung Akma.
“Masa belajar, guru saya banyak memberi dorongan dan dari situ saya juga gemar mencabar kreativiti sendiri dengan membuat kostum unik seperti projek burung kasawari itu,” katanya mengimbau kisah pembabitan awal menjadi pereka kostum.
Hasil usaha dan kerja keras, ibu kepada seorang cahaya mata ini berupaya memiliki studio sendiri Couture Classic (M) Sdn Bhd. Di situlah Akma berkarya, membekalkan kostum kepada pelanggan yang mengingini sentuhannya.
“Sama ada teater, filem, acara atau projek istimewa saya sentiasa bersedia menghulurkan kerjasama,” katanya.

Rancangan realiti misteri The Masked Singer, memberi cabaran baharu buat Akma.
Ia memberikan cabaran hebat buat dirinya lantaran perlu menghasilkan 24 kostum dan maskot untuk penyanyi rancangan terbabit.
“Biasanya membuat satu kostum sahaja akan mengambil masa sehingga sebulan. Tetapi, kerana permintaan saat akhir, saya harus selesaikan semuanya dalam masa singkat.
“Lebih-lebih lagi, Waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini memang sangat membebankan kerana banyak kedai pembekal yang tutup. Namun begitu, dengan usahasama rakan-rakan sekerja seramai 35 orang, kami berjaya menyiapkan semua kostum yang diperlukan,” katanya.
Mengenai perbezaan ciptaannya dengan pereka lain, kata Akma beliau gemar menyelitkan elemen budaya masyarakat.
“Sehebat mana kreativiti dicurahkan pada sebuah kostum, akar umbi dan budaya jangan pernah kita lupakan. Orang luar tidak ada budaya seperti kita miliki. Kita patut bersyukur dan cuba untuk mengekalkan warisan budaya dalam apa jua yang kita lakukan,” katanya memberi pesan.
Berkongsi petua menghasilkan kostum memukau, katanya aspek penggunaan bahan dan warna perlu diambil kira.
“Saya sering mengggunakan fabrik yang boleh diregangkan seperti latex dan span sebab ia selesa. Namun, ia bergantung kepada permintaan pelanggan dan bajet yang mereka ada. Daripada segi warna pula, biasanya saya akan pilih warna terang dan ceria,” katanya.
Kos sebuah kostum turut bergantung kepada jenis dan kualiti. Ia boleh bermula daripada RM4,000 ke atas. Selepas disiapkan, kostum akan menjadi hak milik individu yang menempahnya.
“Kostum paling mahal pernah saya hasilkan ialah tiga buah maskot yang berharga lebih RM200,000,” katanya.










