AKRONIM ialah perkataan yang diperoleh daripada menggabungkan huruf pertama semua perkataan penting pada sesuatu rangkai kata. Singkatan berupa bentuk ringkas pula setelah digabungkan pelbagai huruf pada sesuatu rangka kata. Dengan ini, IKIM ialah akronim daripada Institut Kefahaman Islam Malaysia dan UNIMAS singkatan daripada Universiti Malaysia Sarawak.
Sehubungan ini, akronim dan singkatan adalah antara cara utama perkataan dibentuk dalam bahasa Melayu. Ini dapat dilihat pada K-KOMM daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan MenKOMM daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baharu dibentuk.
Begitu juga dengan KASA daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air serta KEMENTAH daripada Kementerian Pertahanan yang wujud sebelum ini. Bentuk kependekan ini juga didapati wujud dalam bentuk bahasa Inggeris untuk entiti tempatan. Antaranya MOTAC bagi Ministry of Tourism, Art and Culture dan MOSTI untuk Ministry of Science, Technology and Innovation.
Sehubungan bentuk kependekan dalam dua bahasa berlainan ini, KEMENTAH didapati tidak sepopular MINDEF, iaitu daripada Ministry of Defence. Malah ia juga tidak seenak dari segi eufoni, iaitu kelunakan apabila didengar.
Dalam hal ini, secara umumnya akronim dan singkatan daripada bahasa Inggeris didapati mempunyai kelebihan ini dan juga lain-lain. Ini kerana hampir semua perkataan tunggal bahasa Melayu apabila mahu diterbitkan melalui pengimbuhan untuk menjadi kata nama akan bermula dengan sama ada huruf p atau k.
Sebagai contoh, tadbir menjadi pentadbiran dan satu menjadi persatuan atau kesatuan. Dengan ini, huruf p atau k sendiri tidak berupaya menghasilkan sebutan jelas, apatah lagi lunak kerana berupa konsonan. Sebagai contoh, UMNO, iaitu United Malays National Organization akan berupa PKMB, yakni Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang tidak boleh disebut langsung secara terang.
Untuk ini, terbentuklah INTAN daripada Institut Tadbiran Negara yang didapati janggal kerana kata kerja tadbir akan berupa pentadbiran dan bukannya tadbiran dalam bentuk kata namanya. Ia bukan seperti kata kerja kaji dan latih yang boleh wujud sebagai kajian dan latihan.
Tidak dapat disangkal bahawa untuk mendapat uefoni selain bentuk yang boleh disebut sebagai perkataan, tadbiran digunakan untuk mewujudkan singkatan INTAN. Sehubungan ini, apakah akan dibenarkan wujudnya selidikan sebagai gantian kepada penyelidikan untuk tujuan ini?
PERANTI
Walaupun ternyata terdapat kekangan dalam proses pembentukan perkataan dalam konteks akronim dan singkatan dalam bahasa Melayu berbanding dengan dalam bahasa Inggeris, ia tidak patut sesekali menghalang kita daripada bersifat kreatif selain deskriptif untuk melahirkan bentuk bernas, baik dari segi eufoni mahupun tatabahasa dan budi bahasa Melayu.
Sehubungan ini, syabas diucapkan kepada pihak yang bertungkus lumus mencipta bentuk dalam bahasa Melayu, lebih-lebih yang baik, betul dan sopan sifatnya. Ini penting bukan sahaja kerana bahasa Melayu adalah bahasa negara kita, bentuk dalam bahasa Melayu ini sebenarnya ikut menyerlahkan identiti nasional bagi negara dan identiti budaya bagi rakyat.
Tindakan menggunakan bentuk bahasa Melayu oleh agensi kerajaan tidak sepatutnya sekadar mematuhi arahan ketua kerajaan agar menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi termasuklah yang luar negara.
Sebenarnya ia kemestian urusan rasmi, lebih-lebih lagi untuk dalam negara yang wajib menggunakan bahasa Melayu seperti termaktub pada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.
Dengan menggunakan bahasa Melayu sama ada dalam peranannya sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi, ia sebenarnya menganjurkan semangat nasionalisme, iaitu perasaan keterikatan kepada negara ini sebagai tanah air selain semangat nasionisme yakni kegigihan membangunkan negara melalui peranti kebangsaan.
Sehubungan dua semangat ini, K-KOMM dan KASA bukan sahaja lambang kesetiaan kepada negara tercinta ini, ia juga berupa peralatan untuk negara mencapai kejayaan. Oleh itu, agensi kerajaan lain hendaklah mencontohi tindakan ini yang bukan sahaja penting tetapi wajib untuk ikut menjayakan proses pembentukan negara bangsa khususnya dalam mengetengahkan jati diri kebangsaan sebagai kewibawaan negara.
Untuk ini, ia harus dilakukan melalui bahasa Melayu sebagai antara peranti kebangsaan itu. Bentuk bahasa Melayu yang walaupun dicipta sebaik mungkin itu, barangkali masih kurang enak dari segi eufoni dan lain-lain sebetulnya adalah jauh lebih mulia daripada bentuk yang diwujudkan dalam bahasa asing dengan segala kualiti yang kemas.
Ini kerana bentuk bahasa Melayu itu bukan sahaja menunjukkan kita mempunyai ikatan emosi kuat kepada tanah air, ia juga memperlihat kebanggaan, kecintaan dan kesetiaan kita yang langsung tidak berbelah bahagi kepada ibu pertiwi ini. Oleh itu, marilah kita semua perlihat kesediaan, malah kesanggupan untuk menyokong gagasan bahasa Melayu sebagai bahasa negara yang sebenarnya wajib digunakan dalam setiap urusan rasmi atas kapasitinya sebagai bahasa rasmi.
Sehubungan kapasiti ini, bahasa Melayu adalah bahasa yang wajib digunakan dalam semua ranah rasmi. Justeru, peranan rasminya yang diberikan kerajaan sendiri, bahasa Melayu hendaklah bersifat pragmatik, yakni wajib digunakan pada setiap majlis rasmi negara dan bukannya simbolik sahaja, iaitu sekadar berupa lambang yang hanya disebut sebagai rujukan semata-mata dan langsung tidak mahupun digunakan. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.










