PETALING JAYA: Beberapa jenis bahan kimia berjadual didakwa ditemukan dalam kandungan sampel air yang diambil dari bahagian muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang di Kuala Langat.
Malah, kehadiran unsur berkenaan terutama logam juga dikesan setiap kali sampel air dihantar ke sebuah makmal swasta untuk diuji, antara bahan kimia dikenal pasti seperti kromium trivalen, kromium heksavalen, amonia, florida, formaldehid, sulfida, selenium dan barium.
Sungai Selangor dan Sungai Langat adalah sumber utama kepada kira-kira enam juta penduduk Lembah Klang bagi membekalkan air bersih.
Sementara contoh unsur logam ditemukan dalam satu liter air seperti arsenik, nikel, tin, zink, boron, iron, perak, mangan dan aluminium serta kadmium dan plumbum yang digunakan dalam pembuatan bateri.
Bagaimanapun bahan-bahan yang ditemui itu sebahagiannya seperti boron dan mangan dikatakan melepasi paras standard ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Kementerian Kesihatan.

Sampel air
Setiausaha Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat, Pua Lay Peng berkata, laporan hampir sama diterima apabila sampel air diuji di makmal pada Februari, Mac, April dan Disember tahun lalu apabila kandungan seperti boron, mangan serta jumlah pepejal terampai dilapor melebihi had dibenarkan JAS.
“Menerusi laporan-laporan berkenaan, terdapat bacaan bahan kimia yang terus direkodkan wujud seperti boron dan mangan. Kali pertama bahan tersebut dicatatkan berada pada paras 2.45 miligram bagi setiap satu liter (mg/l) dan 0.29 mg/l.
“Sementara bacaan terakhir boron dan mangan dalam laporan diterima pada 19 Januari lalu adalah 2.9 mg/l dan 0.24 mg/l. Malah bacaan permintaan oksigen biokimia (BOD) dan permintaan oksigen kimia (COD) bagi setiap liter juga melepasi standard air minuman ditetapkan KKM,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Lay Peng yang juga seorang ahli kimia memaklumkan, pakar-pakar berkaitan alam sekitar pernah memaklumkan di Sungai Langat terdapat situasi air mengalir dari hilir ke hulu ketika air laut pasang.
Menurutnya, situasi berkenaan berisiko menyebabkan sisa buangan dari kilang-kilang yang terletak selepas LRA Labohan Dagang ditolak masuk ke dalam muka sauk di loji tersebut.
“Walaupun LRA Labohan Dagang berada pada kira-kira lapan kilometer di bahagian hulu (dari kawasan kilang-kilang seperti di Sungai Manggis), tetapi kesan pasang surut air akan menjejaskan kualiti air di LRA.
“Kami pernah tanya pakar-pakar tentang air, mereka menyatakan pergerakan air pasang surut di sungai ini perlu diberi perhatian supaya kualiti air di LRA tidak diganggu,” tegasnya.
Lay Peng menambah, baru-baru ini juga beliau menerima laporan mengenai ratusan ekor udang dan ikan di Sungai Langat ditemukan mati akibat terdedah dengan pencemaran di sungai tersebut. – UTUSAN










