KUALA LUMPUR: Sebanyak 400,000 keping kad pengenalan biru (MyKad) telah diberikan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) dan daripada jumlah itu, 82,000 orang telah dimasukkan dalam senarai pengundi di 30 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.
Itu dakwaan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau melalui usul yang dikemukakannya di Dewan Rakyat seperti tercatat dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul hari ini.
Beliau berkata, setelah UMNO masuk ke Sabah pada 1991, parti itu telah menubuhkan Jawatankuasa Pengundi Luar (Task Force) yang diketuai Bendahari UMNO Sabah ketika itu, Tan Sri Musa Aman.
Katanya, berdasarkan keterangan Jabar Khan yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama tiga tahun dan dua tahun Tahanan Kediaman Terhad di Pendengaran Awam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Integriti pada 26 Februari 2007, perbuatan tersebut bertujuan menjatuhkan Parti Bersatu Sabah (PBS) ketika itu.
“Pengerusi Jawatankuasa Keutuhan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri pada ketika itu telah mengarah Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan juga Ketua Pengarah Jabatan Imigresen supaya tidak hadir memberi keterangan dalam Pendengaran Awam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Integriti, yang akhirnya menyebabkan Pengerusinya, Tan Sri Bernard Dompok meletak Jawatan,” katanya seperti dipetik daripada usul berkenaan.
Madius menambah, Dewan Rakyat hendaklah menjalankan kewajipan menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan dengan mempertimbangkan usul kewarganegaraan berkenaan.
“Pada masa yang sama, kad pengenalan Malaysia yang ada pada hari ini hendaklah diganti dengan yang baharu dan setiap pemegang kad pengenalan yang ada sekarang hendaklah memohon kembali dengan menggunakan surat beranak yang sahih ataupun dokumen yang sah laku dari segi undang-undang,” jelasnya. – UTUSAN










