SAYA pernah terbaca berita sebanyak 123 UMNO bahagian telah meluluskan usul untuk mengekalkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal 2023.
Inilah sebenarnya yang perlu dipersetujui di dalam Perhimpunan Agung UMNO dan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu bagi menunjukkan politik matang UMNO yang pentingkan kestabilan, bukan kuasa.
Bukannya mendesak Parlimen segera dibubarkan dan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dipercepatkan.
Semua bersetuju, terutama rakyat, seharusnya perkara utama yang perlu dibangkitkan sekarang adalah membantu orang ramai selepas zaman endemik, memperkasakan ekonomi rakyat dan menjaga kepentingan rakyat, bukan merebut kuasa menjadi pemimpin UMNO bagi laluan sebagai Perdana Menteri.
Saya amat mengharapkan UMNO bukan setakat memberi peluang Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri sehingga 2023, tetapi sepenggal lagi sehingga 2028, jika UMNO (BN) menang dalam PRU15.
Kenapa saya berkata sedemikian? Pertama, bermula Ogos 2021 sehingga 2023 adalah tempoh yang amat pendek kepada seorang Perdana Menteri untuk menunjukkan kebolehan, wibawa dan kredibilitinya.
Kedua, Perdana Menteri tidak banyak cakap, tetapi banyak buat kerja. Inilah yang kita mahu. Ingat kata-kata ini, rakyat melihat apa yang kamu buat bukan apa yang kamu cakap. Cakap hebat macam mana pun jika cakap tak serupa bikin, tiada gunanya.
Bersih, berintegriti
Ketiga, dalam kalangan pimpinan UMNO yang menjadi Perdana Menteri, setakat ini, Ismail Sabri adalah antara yang kelihatan bersih dan berintegriti. Kebelakangan ini agak sukar mencari pemimpin yang kelihatan bersih.
Keempat, anak kampung Bera ini berjiwa rakyat. Begitu mengambil berat hal ehwal Melayu dan bumiputera. Paling berani, pada 6 Disember 2021, beliau melancarkan satu program khusus yang dipanggil program Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030).
Ia melibatkan tujuh aktiviti pertumbuhan ekonomi utama iaitu pertanian dan komoditi, ekonomi digital, halal dan makanan, kewangan Islam 2.0, pengangkutan dan mobiliti lestari, pembuatan serta pelancongan.
Bumiputera dijadikan sasaran utama termasuk penyampaian perkhidmatan, modal insan, pemilikan kekayaan, keusahawanan, ekonomi korporat, tanah rizab Melayu, wakaf dan adat. Itu ditonjolkan, seolah-olah inilah wajah dasar ekonomi baharu yang sebenar. Semua ini selaras dengan Perlembagaan negara.
Sebelum ini, ada pemimpin yang takut-takut menyebut perkataan Melayu atau bumiputera. Ada yang sanggup mencairkan aset bumiputera. Inilah yang saya harapkan, negara kita memerlukan pemimpin berani berkata benar walaupun pahit dan berintegriti.
Begitu juga semasa pembentangan Bajet 2022, dengan berani, sekali lagi bumiputera ditonjolkan, sehinggakan menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan bukan bumiputera, seolah-olah mereka berasa dianaktirikan, walaupun hakikatnya tidaklah begitu.
Halangan
Syukurlah, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan halangan, Ismail Sabri masih berani membuat banyak perkara betul yang melihat ke depan untuk jangka pertengahan dan jangka panjang di mana ini benar-benar diperlukan dari seorang Perdana Menteri yang negaranya sedang berdepan dengan krisis kesihatan, ekonomi dan politik.
Kelima, kewibawaan Ismail Sabri bukan bermula sejak dilantik menjadi Perdana Menteri, tetapi sejak menganggotai dan menjadi pemimpin UMNO. Seterusnya menjawat beberapa jawatan Kabinet.
Berpengalaman luas sebagai anggota Kabinet apabila menjadi Menteri Belia dan Sukan pada 2008, kemudian pada 2009 sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, pada 2013 sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, kemudian pada 2015 sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Nama Ismail Sabri melonjak ketika menjadi menteri kanan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN). Beliau diberikan peranan Menteri Penyelaras Covid-19 serta menjadi jurucakap kerajaan.
Julukan Pak Long Mail, malah, kanak-kanak turut mengenalinya sebagai Atok Mail. Begitu hebat sekali seorang pemimpin yang berjiwa rakyat sehingga dapat dirasai oleh seluruh rakyat negara ini.
Jelasnya, dalam kerajaan PN sebelum ini, rakyat dapat melihat betapa jauh jurang perbezaan kualiti dan kredibiliti Ismail Sabri seorang menteri UMNO dengan menteri daripada kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH).
Ismail Sabri berjaya merakyatkan kepemimpinannya, berkeperibadian tinggi, dan sangat berkredibiliti. Banyak yang boleh ditulis mengenai Ismail Sabri.
Proaktif
Dalam kata lain, sejak Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri, beliau berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang pemimpin yang berani dan proaktif, meskipun berdepan dengan ancaman ketidakstabilan politik melalui beberapa inisiatif yang telah diumumkan.
Paling ketara, sebagai negarawan berjiwa besar, Ismail Sabri, sejurus dilantik menjadi Perdana Menteri, telah menandatangani memorandum persefahaman dengan PH demi kestabilan dan masa depan negara.
Ini merupakan satu pembaharuan besar dan keberanian dalam mengurus negara ini ketika krisis dan pandemik. Pemimpin yang sentiasa memikirkan soal masa depan berhadapan dengan krisis masa kini.
Saya tidak mahu menyentuh soal gagasan Keluarga Malaysia kerana telah banyak saya sentuh sebelum ini. Akhirnya, khas untuk pemimpin UMNO, jika Perdana Menteri lain boleh begitu lama dalam jawatan, kenapa Ismail Sabri perlu dihadkan kepada 2023?
Ingat! Sosok ini bukan asing bagi rakyat Malaysia. Kelibatnya, sudah bersemadi dalam jiwa rakyat. Negara dan rakyat memerlukan pemimpin yang bersih dan berintegriti, bukan pemimpin yang penuh kontroversi berkaitan isu-isu salah guna kuasa, salah laku dan korupsi. – UTUSAN
DR. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah ialah Profesor di Pusat Pengajian Teras, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Terengganu.










