Nurul Izzah-Rafizi bergabung kembalikan kegemilangan PKR - Utusan Malaysia

Nurul Izzah-Rafizi bergabung kembalikan kegemilangan PKR

Nurul Izzah
NURUL IZZAH ANWAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nurul Izzah Anwar memberi bayangan akan bergandingan bersama bekas Naib Presiden parti itu, Mohd. Rafizi Ramli bagi mengembalikan zaman `kegemilangan’ PKR seperti sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagi mencapai agenda itu, beliau berkata, PKR memerlukan dukungan semua dalam membina kestabilan organisasi dan memainkan agenda menyemak imbang kerajaan yang kini seperti mudah dibuai dengan kuasa.

“Misi saya bersama saudara Mohd. Rafizi adalah untuk menambah nilai InsyaAllah kepada tampuk kepemimpinan termasuk memberi dukungan kepada Presiden Parti (Datuk Seri Anwar Ibrahim), bukan sebaliknya,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, beberapa siri pengkhianatan diselangi ketewasan dalam pilihan raya mendorong beliau dan Rafizi berganding bagi merapatkan saf selain merejuvenasi parti demi menumpukan kembali suara dan permasalahan rakyat.

“Inilah kepada asas perjuangan parti selari dengan penubuhan pada tahun 1999,” katanya.

Justeru, Nurul Izzah menyarankan kepada semua pimpinan khususnya Angkatan Muda Keadilan (AMK) untuk menumpukan kepada misi pengukuhan organisasi parti itu khususnya di musim setiap parti sedang mengalami pengalaman transisi kepemimpinan.

“Kita bermuhasabah dan sentiasa amalkan sifat tawaddu’, sementara mempergiat usaha untuk memenuhi tuntutan rakyat yang menantikan pembelaan hakiki daripada kita.

“Banyak yang harus kita perbaiki demi mewujudkan Keadilan (PKR) yang kalis cabaran masa depan,” jelasnya.

Terdahulu, selepas kekalahan teruk PKR dalam beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas menyaksikan ramai pihak menggesa parti itu melaksanakan segera reformasi dalaman bagi mengembalikan semangat parti.

Dakwa mereka, langkah radikal lain dapat diambil termasuk mengetengahkan kembali pemimpin berpengalaman dalam keadaan Presiden PKR sendiri diserang di setiap segi.

Susulan kekalahan teruk PKR dalam PRN Johor baru-baru ini juga, Mohd. Rafizi mengumumkan kembali menyertai gelanggang politik Selasa lalu apabila mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan akan datang.

Rafizi beranggapan politik progresif pelbagai bangsa parti itu kini dalam bahaya jika PKR dan PH terus menjadi parti ketiga kerana gagal memikat pengundi atas pagar. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×