TIDAK kira wanita mahupun lelaki, kedua-duanya pasti akan terkesan daripada aspek mental.
Ada masanya wanita lebih berasa tertekan dengan tanggungjawab sama ada datang daripada aspek kerjaya dan pengurusan rumah tangga.
Namun begitu, Profesor di Jabatan Sains Matematik, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Nor Haniza Sarmin berkata, sebagai wanita, perlu selalu mencabar pemikiran negatif dan cuba untuk berfikiran positif apabila melakukan sesuatu bagi mendepani kehidupan seharian.
“Contohnya, apabila kita gagal dalam sesuatu yang dilaksanakan, ambil kegagalan itu sebagai satu cabaran untuk bangkit dengan lebih kuat. Didik pemikiran untuk melihat sesuatu cabaran dengan cabang perspektif yang berbeza. Selalu berfikiran rasional dan optimistik serta cuba untuk merungkai permasalahan yang besar kepada cabang-cabang kecil untuk diselesaikan satu persatu,” katanya kepada Seri.
HOBI DAN MASA BERSAMA KELUARGA
Tambah beliau, wanita perlu memiliki hobi dan mengisi kehidupan dengan aktiviti yang sihat dan menggembirakan untuk melepaskan hormon-hormon yang baik agar lebih bersemangat dalam mendepani cabaran.
Cipta atau carilah hobi yang sesuai dengan diri.
“Sebagai seorang pengumpul setem dan duit lama, saya merasakan hobi tersebut mampu memberi ketenangan dan kepuasan kepada diri saya. Apabila merasakan terlalu banyak perkara yang perlu saya selesaikan dalam satu masa, saya akan kembali kepada hobi.
“Selain itu, saya juga akan meluangkan masa bersama-sama keluarga untuk mendapatkan kembali semangat seperti menonton drama di rumah.
“Walaupun anak-anak membesar dan tinggal berjauhan namun kami selalu berkongsi pendapat, bertukar cerita dan bersembang menerusi dalam talian. Dalam tidak sedar, inilah cara saya dalam menjaga kesihatan mental sebagai seorang ibu yang bekerjaya tetapi pada masa sama mengeratkan hubungan kami sekeluarga,” katanya.
DISIPLIN, PRIORITi DAN KESIHATAN MENTAL
Nor Haniza yang juga Pengarah Bersekutu (Global Strategy and Engagement) UTM International menambah, dalam mengurangkan tekanan, wanita berkerjaya yang mempunyai pelbagai tanggungjawab perlu berdisiplin dan bijak merancang perjalanan harian.
Tegasnya, disiplinkan diri dengan masa dan rancang perjalanan harian untuk memberikan yang terbaik terhadap kerjaya, keluarga dan diri sendiri.










