Zahid teliti gesaan PRU15

Zahid teliti gesaan PRU15

Ahmad Zahid Hamidi mengikuti perbahasan perwakilan Wanita UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di WTCKL, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan meneliti ucapan dasar ketiga-tiga sayap, Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri yang menggesa agar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dipercepatkan.

Ahmad Zahid berkata, beliau akan mengambil kira semua pandangan daripada ketiga-tiga sayap itu untuk memastikan setiap keputusan dibuat atas pertimbangan yang menyeluruh.

“Ucapan dasar sayap-sayap UMNO menunjukkan semangat mereka cukup tinggi dan saya pasti jurucakap negeri-negeri akan juga ekori apa yang telah dilontarkan ketua masing-masing. Pada kali ini, Perhimpunan Agung UMNO secara rasminya akan dimulakan esok namun untuk sayap-sayap telah dimulakan hari ini dan ini adalah daripada setiap sayap UMNO.

“Ini turut melibatkan UMNO bahagian-bahagian yang didukung oleh UMNO negeri memperlihatkan kesiapsiagaan bagi terus menggerakkan jentera terhadap sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

“Sebabnya jelas apabila ketiga-tiga sayap mendesak supaya mandat baharu rakyat hendaklah diberi dalam waktu ini atas nasihat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan Seri Paduka,” katanya dalam sidang akhbar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 di di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini, semalam.

Menurut Ahmad Zahid, beliau akan mengambil kira semua pandangan untuk memastikan setiap keputusan dibuat atas pertimbangan yang menyeluruh.

“Sudah tentu suara akar umbi akan didengar dan kita harapkan ini akan dilaksanakan pada masa yang sesuai dengan mengambil kira beberapa aspek yang dilihat secara mendalam.

“Namun sebagai ketua parti, ia adalah perebutan waktu perancangan politik dan masih perlu memastikan setiap keputusan yang perlu dihormati,” katanya.

Ketiga-tiga sayap UMNO condong untuk menggesa pimpinan parti itu ‘mengisytiharkan’ pembubaran Parlimen selepas Barisan Nasional (BN) kembali mendapat kepercayaan rakyat apabila menang besar dalam dua pilihan raya negeri di Melaka dan Johor.

Malah, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan juga mencadangkan supaya PRU15 diadakan segera memandangkan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) tidak lagi diterima rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×