Isu MB Johor bersifat sementara

Isu MB Johor bersifat sementara

ONN Hafiz Ghazi yang diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani disambut kakitangan Pejabat Menteri Besar di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, semalam. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Isu pelantikan Menteri Besar Johor diyakini tidak akan berpanjangan dan dapat diuruskan dengan sebaik mungkin demi kestabilan dan kelestarian negeri itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Ku Hasnan Ku Halim berkata, walaupun akan ada sedikit unsur tidak bersetuju oleh pihak tertentu dalam pelantikan itu, ia diyakini hanya untuk seketika kerana akan diuruskan dengan sebaik mungkin demi kestabilan dan kelestarian Johor.

“Akan ada ribut dalam secawan kopi, namun itu adalah lumrah ke arah menumbuhkan kematangan bersama dengan kebijaksanaan dan rasionalisasi kewarasan masing-masing yang terlibat mencari solusi yang terbaik. Tradisi dan moden akan bersahabat dalam mencari penyelesaian yang terbaik.

“Memang benar pilihan raya diakui sebagai gaya hidup kita tetapi menetapkan pilihan bukan hak kita sepenuhnya. Sama dalam isu Menteri Besar ini, percaturan meletak calon demi kestabilan dan kelestarian dinamisme negeri akan dilakukan melalui proses yang disebut sebagai pilihan raya.

“Namun, dalam soal persetujuan mengangkat watak cadangan yang bakal bekerja bersama adalah di bawah kuasa budi bicara istana seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan dan pastinya dengan nasihat serta penelitian kebijaksanaan dalam merealisasikan soal itu,” katanya di sini, semalam.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum UTHM itu mengulas berkaitan pelantikan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengangkat sumpah kelmarin berbanding calon tunggal yang diumumkan Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad.

Dalam pada itu, Ku Hasnan berkata, semua pihak perlu menyingkap semula sejarah dan empayar negeri Johor yang memiliki keunikan tersendiri berbanding negeri lain termasuk dalam konteks pemilihan Menteri Besar.

Katanya, naratif Johor jelas menyebut negeri ini adalah sebuah empayar dan ada autonomi tertentu yang sedikit berbeza.

Kata beliau, keunikan itu tampak jelas dalam soal memilih Menteri Besar yang akan bekerja bersama istana dalam urus tadbir negeri Johor kerana individu berkenaan semestinya harus serasi dan serasa dengan pihak istana.

“Johor adalah sebuah empayar Johor Riau selepas kejatuhan Melaka dan apabila menyertai Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia, terdapat beberapa peruntukan tertentu terhadap Johor yang membezakannya dengan negeri-negeri lain.

“Naratif ini bukan perkara baharu kerana sejarah dan asal usul keberadaan dan kemenjadian Johor itu sendiri sudah nyata. Apatah lagi ketika menyertai Malaysia telah pun berjalan sebegitu dan ia menjadi elemen tradisi atau prerogatif istana melantik Menteri Besar.

“Mengulangi ucapan seorang pemimpin, tiada idealisme dan politik kepartian yang lebih tinggi selain mengangkat sesebuah bangsa, itu jelas menunjukkan bahawa istana dan rakyat telah bermuafakat dan bersetuju dalam soal ini sejak sekian lama,” katanya di sini, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×