PASIR PUTEH: Akar umbi UMNO di Kelantan tidak sabar menunggu pucuk pimpinan parti memuktamadkan status sebenar hubungan dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) menerusi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, antara yang perlu diambil kira, walaupun Pas menolak kerjasama dengan UMNO untuk menghadapi musuh sama dalam dua siri pilihan raya, hakikatnya akar umbi Pas tidak begitu.
Malah kata beliau, MN setakat ini kekal sebagai model penyatuan ummah terbaik di negara ini.
“Dalam masa sama Pemuda UMNO Kelantan berharap Pas boleh membuat pembetula segera terhadap bentuk kerjasama yang tepat sama ada memilih MN bersama dengan UMNO ataupun kekal bersama dengan Bersatu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman berkata, sama ada kerjasama dengan Pas itu diteruskan atau tidak, beliau yakin akar umbi UMNO di Kelantan akan terus walak kepada pemimpin.
Paling penting katanya, keputusan lebih jelas berhubung hala tuju kerjasama tersebut perlu dimuktamadkan supaya ahli di peringkat akar umbi tidak terus tertanya-tanya.
“Polemik ini tidak harus berlanjutan kerana tumpuan perlu diberikan kepada usaha untuk mengukuhkan kembali sokongan rakyat dan membina kekuatan parti.
“Di Kelantan, kita tidak pernah menolak MN tetapi kecewa dengan Pas, namun, kita masih menjaga air muka Pas demi ‘air mata keinsafan’ yang berlaku selepas MN dimeterai,” katanya.
Sehubungan itu kata Zawawi, barisan pemimpin Pas juga seharusnya berhati-hati mengeluarkan kenyataan yang boleh menggores hati UMNO, sebagaimana pernah terjadi ketika dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini. – UTUSAN










