GEORGETOWN: Pergerakan Wanita UMNO konsisten memperjuangkan agenda 30 peratus perwakilan wanita diberi peluang untuk menjadi calon dan diletakkan di kawasan yang sewajarnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, ahli wanita merupakan antara yang teramai di dalam parti itu iaitu kira-kira 1.3 juta orang dan sewajarnya calon wanita yang berkelayakan diberi peluang untuk bertanding dalam PRU15.
“Ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU), kami masih memperjuangkan agenda 30 peratus kerusi untuk calon wanita.
“Kami sudah letih meminta banyak kali, tetapi kali ini saya rasa pucuk pimpinan mula sedar dengan meletakkan calon wanita peluang kemenangan itu sangat cerah dalam PRU15,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis Kembali Ke Sekolah 2022 di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini semalam.
Pada majlis yang dianjurkan oleh Uda Holdings Berhad (UDA) itu, seramai 660 pelajar menerima bantuan penyediaan kelengkapan persekolahan yang keseluruhannya bernilai RM100,000.
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini memutuskan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 akan diadakan mulai hari ini hingga Sabtu.
Sebelum ini, UMNO menangguhkan PAU 2021 yang dijadualkan pada 13 hingga 15 Jan disebabkan bencana banjir yang melanda negara.
Menurut Norliza, Wanita UMNO di negeri-negeri juga akan membawa usul yang sama ketika PAU dijalankan dan beliau berharap suara wanita untuk mendapat 30 peratus kerusi dalam PRU-15 akan didengari pucuk pimpinan.
“Wanita di negara ini juga layak diberi kesaksamaan jantina dan peluang untuk memimpin sama seperti pemimpin lelaki.
“Kajian juga menunjukkan wanita sebagai pemimpin adalah mereka yang rajin, serba boleh serta jujur dalam kepemimpinan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya sama ada Wanita UMNO akan menyuarakan desakan supaya PRU-15 diadakan lebih awal, beliau berkata, perkara tersebut sewajarnya diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.
“Apa yang penting pada masa ini ialah kita kekalkan perpaduan serta kesetiaan ahli UMNO supaya tidak ada lagi ahli yang melompat.
“Sama ada PRU15 perlu diadakan lebih awal atau tidak, saya pasti isu ini akan dibahaskan ketika PAU dan biarlah pucuk pimpinan buat keputusan mengenainya,” katanya. – UTUSAN










