“SAYA perah susu dalam jamban duduk. Saya dengar ada orang kat luar komplen, apa perempuan ini buat begitu lama dalam. Tapi saya pekakkan telinga saja.”
“Saya pulak, kalau tiada peti ais tempat simpan susu, saya buang saja susu tu sebab geli. Sudahlah perah dalam jamban tempat syaitan, tak kan nak bagi baby pula.”
Sebak sungguh hati saya bila mendengar beberapa cerita rakan wanita yang terpaksa memerah susu dalam bilik air atau lebih spesifik jamban duduk.
Tidak habis di situ, ruang penyimpanan khusus pula tiada. Bagi pejabat yang tidak ada peti sejuk, susu berkenaan terpaksa dibuang begitu saja.
Walaupun jangka hayat susu boleh bertahan lama pada suhu bilik, ada yang ibu tidak yakin dengan keselamatan susu yang akan diberikan kepada bayi mereka. Ia dibuang begitu sahaja.
Bagi pejabat yang ada peti sejuk, ceritanya lain pula. Susu perahan terpaksa di kongsi dengan rakan sepejabat lain. Sambal belacan, air manis yang tidak habis, air botol dan sebagainya. Itu belum lagi dikira dengan makanan yang sudah rosak berminggu-minggu keras dalam peti ais tetapi masih di simpan di situ.
Segelintir ibu ini terpaksa menebalkan muka meletakkan susu dalam peti ais awam itu. Kalau sudah namanya susu perahan, sudah pasti ada kata-kata yang suka mengusik.
Walaupun mungkin wanita itu tersenyum dengan usikkan, percayalah tidak ada wanita yang suka diperlakukan begitu. Lebih-lebih lagi bab susu, yang menjadi makanan anak mereka.
Saya ingat lagi di pejabat lama saya, wanita menandatangani kertas cadangan untuk membuat bilik laktasi yang lebih selesa. Selain peti ais, ada kerusi empuk untuk ibu melakukan tugasan mereka.
Hari ini, saya lihat isu bilik laktasi tidak lagi menjadi isu yang dibincangkan sangat. Mungkin semua pejabat sudah sempurna atau barangkali juga sebab semua ibu-ibu muda ini sudah tidak lagi menyusu badan. Makanya itu cabaran baharu perlu dihadapi ibu muda yang baru bersalin.
Soalnya wajarkah wanita yang membuat kertas cadangan semata-mata mahu bilik sempurna untuk mereka memerah dan menyimpan susu?
Kalau ruang merokok ‘automatik’ disediakan, kenapa bilik laktasi begitu payah diadakan? Kajian menunjukkan 60 peratus wanita tercicir dalam sektor pekerjaan, biarpun mereka mengungguli 60 peratus institusi pendidikan di negara ini. Salah satu puncalah ialah sektor pekerjaan tidak lagi menawarkan suatu tarikan buat mereka. Dan majikan juga tidak tertarik untuk menggajikan wanita sebagai pekerja dengan alasan itu. Wajarkah?
Jangan memandang rendah pekerja wanita kerana akhir-akhir ini bukan sahaja wanita, tetapi lelaki juga lebih tertarik dengan pekerjaan Gig yang lebih anjal, biarpun pendapatan bergantung kepada kerajinan individu.
Majikan Malaysia dilaporkan paling kedekut di Asia Tenggara dengan tawaran gaji kecil. Janganlah pula ditambah kedekut dalam bab membabitkan kebajikan pekerja khususnya wanita.
Hari Wanita bertemakan Saksama Bersama. Sejauh mana mereka dihargainya sebagai seorang pekerja?
———–
NOR AFZAN MOHAMAD YUSOF, Penolong Pengarang Berita,
Utusan Malaysia.










