Cetus inspirasi fairytale muslimah - Utusan Malaysia

Cetus inspirasi fairytale muslimah

JOY REVFA cantik dengan karakter Aurora atau Sleeping Beauty.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIGELAR sebagai Queen of Fairytale lantaran sering tampil umpama puteri dunia khayalan.Siti Arifah Mohd. Amin atau Joy Revfa menangkis tanggapan dirinya suka berfantasi.

Sebaliknya wanita jelita berusia 34 tahun ini mahu mencetuskan inspirasi kecantikan kepada seluruh wanita.

Dia mahu menyampaikan mesej kepada wanita supaya lebih menghargai diri dan mempercayai kelebihan yang ada pada diri sendiri.

Percaya setiap kelebihan yang diberikan oleh pencipta kepada makhluk-Nya bukan hanya ada pada sesetengah orang namun ia terdapat pada setiap individu.

“Kelebihan itu ada dalam diri saya, ada di dalam diri anda dan semua wanita di dunia ini. Kita sendiri yang perlu berusaha untuk mencari dan pasti akan menemui kelebihan yang ada pada diri.

Sebab itu, saya memilih untuk tampil berani dengan kelebihan yang ada dalam mengetengahkan konsep fantasi sehingga mendapat gelaran fairytale muslimah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

WANITA BERHAK BERFANTASI
Minat Joy Revfa dengan dunia khayalan atau fantasi bermula sejak kecil lagi kerana suka membaca buku-buku fairytale dan meminati semua watak Disney Princess antaranya Snow White, Cinderella, Aurora, Ariel, Belle dan Jasmine.

Lantaran itu, Pengasas Merve Cosmetics ini memilih untuk mengetengahkan konsep berkenaan melalui produk kecantikan kerana bagi dirinya setiap wanita tidak kira usia, pasti mempunyai keinginan menjadi seorang puteri atau wanita paling cantik seperti dalam dunia khayalan.

“Saya mula membina empayar Merve Cosmetics pada 2015 dengan memperkenalkan konsep fairytale melalui produk-produk solekan dan penjagaan wajah. Saya turut menggayakan busana dan mekap ala-ala fairytale muslimah. Bagi saya, semua wanita berhak berfantasi untuk tingkatkan keyakinan diri dan tampil cantik,” katanya.

Bukanlah jiwa usahawan jika tidak diuji dalam membangunkan perniagaan yang diusahakan. Begitupun, ujar ibu seorang anak ini, dia tidak pernah berasa tertekan sungguhpun mendapat tentangan dalam mengetengahkan konsep fairytale muslimah.

“Ada memuji konsep produk ini setanding antarabangsa namun tidak kurang juga menghina dengan menyatakan Joy membawa ‘konsep tahyul’. Malah pernah disindir dan ditertawa apabila nampak Joy bergambar di atas seekor kuda ditambahkan tanduk mirip unicorn.

“Saya tidak ambil hati dan tidak kisah apa orang nak cakap. Yang penting, produk saya hasilkan beri banyak manfaat kepada wanita, malah boleh juga menambah pendapatan,” katanya yang mencipta kelainan dengan menampilkan produk lebih berani dan eksklusif iaitu Blackrevfa Black Magic Lipstick pada tahun ini.

IBU SUMBER INSPIRASI
Kejelitaan Joy Revfa banyak diwarisi kecantikan ibunya, Safiah Abbas. Wanita itu juga yang menjadi pendorong untuk dirinya menguasai dunia kecantikan.

“Ibu inspirasi untuk saya tampil dengan produk kecantikan dan kosmetik. Sejak berumur 16 tahun lagi, saya banyak menghabiskan masa menguruskan akademi kecantikan keluarga iaitu Akademi Pentauliahan Kecantikan Artistik Diyana. Akademi di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) ini, diasaskan ibu sejak 1999 dan mendapat pengiktirafan pada 2008.

“Akademi diusahakan bersama ibu dan kakak, Siti Diyana Mohd. Amin, berjaya membantu ramai wanita bergelar usahawan kecantikan berjaya dan membantu wanita yang tiada punca pendapatan untuk belajar kemahiran berniaga,” katanya. Ibunya jugalah yang banyak menurunkan ilmu perniagaan dan kecantikan kepada dirinya sehingga berjaya melebarkan empayar perniagaan sendiri.

LEMBUT TETAPI LASAK
Di sebalik gaya dan penampilannya yang lemah lembut serta anggun selalu, siapa sangka jelitawan ini sebenarnya wanita lasak.

Sejak sekolah lagi dia aktif dalam martial art dan sempat berlatih selama empat tahun di Sukan Pahang (SUKPA) untuk sertai sukan menembak.

“Namun keluarga memberi nasihat supaya berhenti dan fokus ke arah kecantikan. Saya kemudiannya terus dihantar ke Beauty School untuk mengambil Confederation of International Beauty Therapy and Cosmetology (CIBTAC) Diploma di Malaysia, Airbrush Makeup New York dan melanjutkan pelajaran di Sekolah Kecantikan di Jakarta, Indonesia.

“Jadi minat saya terhadap sukan lasak berhenti setakat itu sahaja tetapi Joy yakin pilihan yang keluarga buat adalah terbaik untuk masa depan,” katanya yang tidak sesekali menyesal mengikut keputusan keluarga.

BERKUDA DAN BERMAIN GOLF
Sungguhpun begitu, minatnya dalam aktiviti sukan tidak terhenti di situ. Dia tetap meneruskan hobi berkuda setiap minggu kerana kakak dan abang ipar ada memelihara kuda selain akan bermain golf bersama anak lelaki tunggalnya, Muhammad Arryan Firdaus, 8.

“Jika ada masa terluang saya sekeluarga akan habiskan masa beriadah di stable dan menunggang kuda. Dengan berkuda, selain berlandaskan sunnah Rasulullah SAW ia dapat merapatkan hubungan kekeluargaan, menyihatkan mental dan fizikal serta mendisiplinkan diri,” katanya.

Baginya, sukan berkuda mampu membina keyakinan diri dan melatih sifat berkepimpinan.

“Bermain golf pula kerana Muhammad Arryan sangat meminati sukan golf dan mempunyai jurulatih sendiri untuk mengajar setiap minggu.

“Secara tidak langsung, saya juga berminat mendalami sukan golf sebagai hobi,” katanya.

‘Saya umpama helang’
Anak Pahang ini mengakui banyak hikmah diperoleh setiap kali terpalit dengan kontroversi. Sama ada dalam perniagaan mahupun perkahwinan, ia tetap memberi impak positif kepadanya.

“Saya tidak suka mereka-reka kontroversi murahan terutama demi melariskan produk. Kalau boleh saya mahu sentiasa memberi contoh dan menonjolkan prestasi yang baik supaya dapat memberi manfaat kepada ramai wanita lain,” katanya.

Menganggap diri sebagai sang helang kerana satu-satunya burung yang berani menentang helang adalah burung gagak, katanya:

“Gagak berani mematuk leher helang, tetapi helang tidak membalas dan tidak bergaduh dengan gagak. Gagak cuba terbang tinggi sama seperti helang namun gagak tewas. Jadi, anggaplah orang sekeliling yang menghina dan mempersendakan diri kita seperti si burung gagak. Helang tetap terus melebarkan sayap dan terbang lebih tinggi,” katanya.

NASIHAT JOY REVFA
Ingatlah,
Ketika orang menjatuhkanmu
GO HIGHER
Ketika orang memfitnahmu
GO HIGHER
Ketika dugaan datang bertubi-tubi
GO HIGHER
Terbanglah lebih tinggi dengan perbaiki diri
Terbanglah lebih tinggi dengan berusaha lebih lagi
Terbanglah lebih tinggi dengan dengan mendewasakan emosi
Terbanglah lebih tinggi dengan doa dan rasa bersyukur setiap hari

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×