MAHB pastikan semua lapangan terbang antarabangsanya bersedia

Pacu kembali industri penerbangan

gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memastikan semua lapangan terbang antarabangsanya bersedia menerima kemasukan penumpang antarabangsa apabila sempadan dibuka semula pada 1 April ini.

Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pihaknya menyambut baik pembukaan semula sempadan negara yang menjadi titik tolak merangsang pemulihan prestasi ekonomi negara.

Jelasnya, ia sekali gus akan melonjak prestasi MAHB hasil daripada tambahan bilangan pergerakan penumpang antarabangsa.

“Sebelum pandemik Covid-19 melanda, Malaysia menerima kunjungan pelancong seramai 26 juta yang telah menjana sebanyak RM86 bilion dalam perbelanjaan pelancong. Dengan pembukaan semula sempadan, negara bakal meraih semula punca pendapatan ini.

“Di samping itu, permintaan pasaran global bagi pelbagai industri tempatan juga akan kembali meningkat dan ini semua berpotensi untuk memulihkan ekonomi negara dengan lebih pantas,” katanya dalam kenyataan.

Zambry berkata, MAHB akan menyokong penuh semua usaha kerajaan dengan memastikan kualiti perkhidmatan di lapangan terbang sentiasa berada pada tahap tertinggi sebagai langkah penyediaan menerima bilangan penumpang yang lebih ramai.

Sementara itu, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menambah baik proses aliran ketibaan penumpang di lapangan terbang kendaliannya.

“Kecekapan protokol keselamatan di lapangan terbang merupakan keutamaan kerana ia memainkan peranan penting dalam memastikan pengalaman yang menyenangkan kepada penumpang,” katanya.

Dalam pada itu, AirAsia yang turut mengalu-alukan pembukaan semula sempadan negara berkata, walaupun syarikat penerbangan itu pada masa ini mempunyai beberapa perkhidmatan antarabangsa yang telah beroperasi, pengumuman tersebut bakal menyokong kapasiti tambahan dalam kebanyakan pasaran antarabangsanya sejajar dengan permintaan yang kukuh.

“AirAsia sentiasa menyemak rangkaiannya yang berkembang berdasarkan beberapa faktor termasuk permintaan.

“Perkhidmatan baharu akan diumumkan dalam masa terdekat apabila dunia terus dibuka semula secara beransur-ansur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×