SALAH satu masalah sosial utama yang melanda dunia sejak dahulu lagi adalah kemiskinan. Pada 2019, Bank Dunia melaporkan hampir 9.2 peratus atau 689 juta penduduk dunia tergolong dalam kumpulan miskin tegar. Peningkatan mendadak berlaku pada era pandemik Covid-19 di mana pada 2020 dianggarkan terdapat pertambahan antara 88 hingga 115 juta penduduk berdepan kemelut kemiskinan.
Secara umumnya, kemiskinan tegar ditakrifkan sebagai individu yang memperoleh pendapatan kurang daripada AS$1.90 (RM7.95) sehari. Jumlah yang terlalu minimum ini menyebabkan kumpulan miskin tegar tidak dapat menjalani kehidupan lebih baik terutama di kawasan bandar yang mempunyai kos sara hidup tinggi.
Kemiskinan juga mewujudkan jurang kualiti hidup antara penduduk miskin dan kaya. Keadaan ini menyukarkan lagi usaha untuk membasmi kemiskinan, sama ada di peringkat global atau lokal.
Indikator-indikator utama ini perlu diberi pertimbangan sewajarnya dalam pembentukan dan pelaksanaan dasar-dasar nasional pada masa akan datang agar tiada keciciran berlaku dalam masyarakat. Kemiskinan berlaku di mana sahaja, sama ada di negara maju mahupun negara membangun dan mundur.
Meskipun demikian, pelaksanaan dasar-dasar berkaitan kemiskinan di beberapa negara penting untuk diberi perhatian. Pada 1990, 750 juta penduduk China hidup di bawah garis kemiskinan. Ia menyamai dua per tiga daripada jumlah keseluruhan penduduknya.
Menariknya pada 2012, berlaku penurunan mendadak apabila hanya 90 juta rakyat negara itu hidup di bawah garis kemiskinan. 2016 pula mencatatkan kira-kira 7.2 juta populasi (menyamai 0.5 peratus) dikategorikan sebagai miskin tegar. Perubahan drastik untuk tempoh kurang dari 30 tahun menarik untuk diteliti.
Apa formula digunakan oleh kerajaan China? Apakah faktornya? Berapa kerajaan China laburkan? Persoalan-persoalan ini penting untuk diteliti dan difahami khususnya bagi mereka yang terlibat dengan pembentukan, penggubalan dan pelaksanaan dasar berkaitan pembasmian kemiskinan.
Meneliti perkembangan dan kemajuan di China, negara tersebut menggunakan pendekatan ekonomi dan sosial. Serampang dua mata untuk memajukan sektor ekonomi sekali gus menaik taraf kehidupan sosial masyarakat menampakkan hasilnya.
Bukan sahaja berjaya membebaskan berjuta rakyatnya daripada kemelut kemiskinan, bahkan menjadikan negara Tembok Besar itu sebagai salah satu kuasa besar ekonomi dunia ketika ini sebaris Amerika Syarikat (AS), Jepun, Jerman dan United Kingdom.
Terdapat tiga strategi yang menarik untuk dikupas. Pertama, Program Pembangunan Agrikultur Nasional (1956–1967) menjadi pemangkin asas kepada pengukuhan sektor agrikultur. Dasar ini secara tidak langsung memberi impak positif dalam membantu masyarakat khususnya golongan petani yang jumlahnya menjangkau satu per empat daripada keseluruhan warga China pada zaman tersebut.
China berterusan memberi fokus kepada pembangunan sektor agrikultur sehingga era 1980-an. Dasar bersifat terarah ini membantu wilayah-wilayah mundur bangkit dan mengejar pembangunan lebih seimbang dengan wilayah-wilayah maju.
SDG
Berbeza dengan beberapa negara lain terutama di rantau Asia Tenggara, kebanyakan dasar pembangunan mereka lebih menumpu kepada kawasan lebih maju berbanding mundur. Keadaan ini sekali gus mewujudkan jurang pembangunan tidak seimbang dan melebarluaskan jurang tidak sama rata dalam masyarakat.
Kedua, China dilihat begitu komited dalam memperkukuhkan dasar perlindungan sosial nasional. Sejak era 1950-an lagi, meskipun negara tersebut dibelenggu kemunduran ekonomi, usaha-usaha membantu rakyat yang hidup dalam kemiskinan tetap diberi perhatian.
Pada ketika ini, China menyediakan pelbagai keperluan asas termasuk pendidikan khususnya kepada golongan kanak-kanak dan remaja. Pendidikan dikenal pasti sebagai antara indikator utama yang memainkan peranan penting dalam melahirkan masyarakat berilmu sekali gus membawa diri mereka keluar dari kepompong kemiskinan.
China turut mempunyai dasar yang mewajibkan rakyatnya memperoleh pendidikan. Hasilnya pada 2021, dianggarkan 10.78 juta calon menduduki peperiksaan National Higher Education Entrance. China juga komited dalam mengukuhkan sistem pendidikan nasional. Buktinya pada 2020, China membelanjakan sekitar AS$817 bilion atau empat peratus daripada keseluruhan pendapatan keluaran negara kasarnya untuk sektor pendidikan berbanding 2.5 peratus pada era 1990-an. Malah mereka turut merancang Pelan Pemodenan Pendidikan China menjelang 2035 yang menyasarkan pembangunan sektor pendidikan berkualiti sejajar Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) sasaran keempat.
Ketiga, China memberi penekanan kepada aspek tadbir urus sosial yang menumpu kepada usaha membanteras kemiskinan. Pada 2015, strategi ini tertumpu kepada pengurusan di peringkat lokal dengan menyasarkan perkampungan-perkampungan miskin.
Pasukan-pasukan yang terlibat dalam rangkaian pembasmian kemiskinan ini digerakkan di setiap lokaliti dan bekerjasama dengan masyarakat setempat. Pada 2020, terdapat 255,000 pasukan penduduk terlibat dalam rangkaian ini.
Di samping itu, lebih lima juta pegawai memantau di peringkat tempatan dan kampung. Strategi ini menunjukkan China bersedia menggembleng jentera kerajaan dalam menggerak usaha membanteras kemiskinan sehingga ke peringkat akar umbi.
Malaysia masih bergelut untuk mencapai sifar miskin tegar. Sehingga kini, matlamat tersebut masih gagal direalisasikan. Mungkin sudah tiba masanya kita belajar daripada China.
Meneliti pembentangan Bajet 2022, Malaysia turut mengambil inisiatif dalam menumpukan perhatian terhadap tiga aspek sama iaitu pembangunan kawasan luar bandar, pengukuhan dasar perlindungan sosial serta memantapkan jentera kerajaan dalam pengurusan kebajikan masyarakat. Perancangan belanjawan ini dapat mengukuhkan lagi strategi membanteras kemiskinan meskipun kita masih bergelut dengan impak pandemik Covid-19.
Laut mana tidak berombak, bumi mana tidak ditimpa hujan. Jika ada usaha, komitmen dan kerjasama daripada kerajaan dan pelbagai pihak, sudah pasti Malaysia juga mampu mencapai sifar kemiskinan suatu hari nanti. – UTUSAN
DR. Nur Hairani Abd. Rahman ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Perniagaan & Ekonomi, Universiti Malaya.










