Kenaikan harga MSM didorong oleh kenaikan harga minyak mentah Brent

Brent dorong kenaikan harga minyak sawit mentah

russia
KETEGANGAN politik Russia-Ukraine mendorong kenaikan harga minyak mentah global. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenaikan harga Minyak Sawit Mentah (MSM) didorong oleh kenaikan harga minyak mentah Brent (BCO) berikutan ketegangan konflik Rusia-Ukraine serta pengeluaran BCO yang terhad oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, pengukuhan harga BCO di pasaran global telah membantu minyak sawit sebagai pilihan yang lebih kompetitif untuk dijadikan bahan mentah biodiesel sekali gus menyumbang kepada kenaikan harga MSM.

“Harga BCO mula didagangkan melebihi AS$100.00 (RM417.70) se tong pada 7 Februari lalu dan yang terkini, ia telah diniagakan lebih tinggi pada AS$121.86 (RM509.01) setong pada 3 Mac lalu.

“Selain itu, faktor lain yang mendorong kenaikan harga MSM adalah tren peningkatan harga minyak kacang soya di pasaran global. Ini kerana kedua-duanya sedang bersaing dalam pasaran minyak sayuran dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Ahmad Parveez, selain daripada minyak sawit yang diimport dari Indonesia dan Malaysia, India juga mengimport minyak sayuran lain dari Argentina dan Brazil, serta minyak bunga matahari dari Rusia dan Ukraine.

Ujarnya, ketegangan konflik antara Rusia dan Ukraine yang semakin memuncak dijangka menyebabkan kelewatan dalam penghantaran minyak bunga matahari dan seterusnya memberi peluang untuk lebih banyak import minyak sawit dari India.

“Permintaan eksport yang lebih tinggi terhadap minyak sawit akan menyumbang kepada penurunan stok minyak sawit dan menyebabkan kenaikan harga MSM.

“Pengeluaran MSM yang lebih rendah turut menyumbang kepada kenaikan harga MSM ketika ini. Pada Januari lalu, pengeluaran menyusut sebanyak 13.5 peratus kepada 1.25 juta tan berbanding 1.45 juta tan pada Disember 2021 disebabkan oleh musim hujan monsun dan masalah kekurangan tenaga kerja yang dihadapi oleh sektor perladangan.

“Berdasarkan faktor asas dan sentimen pasaran, harga MSM dijangka kekal tinggi di paras RM5,000 hingga RM8,000 satu tan sehingga April atau Mei tahun ini. Harga purata MSM diunjurkan pada RM4,250 satu tan pada 2022,” katanya.

Harga purata harian MSM telah menjangkau RM8,076.50 satu tan pada 2 Mac lalu, yang merupakan harga purata harian tertinggi dalam sejarah industri sawit Malaysia.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpendapat, antara sebab utama permintaan yang tinggi di pasaran hadapan adalah kerana pembeli mahu menyimpan stok bekalan memandangkan permintaan diunjurkan akan terus meningkat terutamanya dari India dan China.

Dari sudut bekalan pula, jelasnya, terdapat dua faktor utama yang mengganggu pengeluaran MSM yang lebih banyak iaitu kekurangan tenaga buruh asing di ladang-ladang dan kenaikan kos baja urea.

“Kekurangan tenaga buruh asing adalah disebabkan kekangan varian Omicron yang sedang melanda negara-negara di Asia Tenggara, Malaysia dan Indonesia yang merupakan pengeluar utama MSM.

“Kenaikan harga baja urea pula selari dengan kenaikan harga minyak mentah, iaitu bahan asas pembuatan baja tersebut.

“Selain itu, Russia merupakan pengeluar terbesar baja urea di dunia, dan peperangan yang dicetuskan memberi kesan kepada harga baja urea, iaitu antara bahan asas penting kepada hampir semua jenis tanaman komersial dunia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×