BERSIKAP merendah diri dan terbuka menerima teguran serta bersedia belajar perkara baharu. Begitulah personaliti pelawak dan pelakon Fikry Ibrahim.
Bakat yang dicungkil menerusi pembabitan program Lawak Solo 2016, ternyata membuka lembaran rezeki untuk dia terjun ke bidang hiburan tempatan.
Selain bergelar pelawak dan pelakon, anak jati kelahiran Kedah ini juga turut mengembangkan bakatnya sebagai seorang pengacara.
Dalam tempoh hanya tujuh tahun Fikry atau nama penuhnya Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim sudah meneroka pelbagai bidang untuk profil seninya.
“Saya terharu dan gembira bila mendapat kepercayaan apatah lagi yang lebih mencabar.
“Bahkan pada tahun ini sahaja, saya banyak ditawarkan stesen TV untuk mengacarakan program tertentu,” ujarnya yang bakal membintangi drama slot Lestary di TV3, Kerana Dia Suka arahan Kyoll Hamzah terbitan Zeel Production bermula esok.
Berkongsi mengenai perkembangan awal tahun ini, kongsinya jadual sudah padat hingga pertengahan tahun.
“Alhamdulillah sudah penuh sampai bulan enam. Dari segi lakonan tahun ini banyak kerja yang saya suka.
“Saya berpeluang meneroka pelbagai watak lain. Saya berasa bersyukur dengan apa yang diberikan,” ujarnya.
Nama Fikry mula disebut-sebut selepas membintangi drama Hero Seorang Cinderella dengan watak Noah Farizzam.
Menerusi naskhah itu, Fikry berlakon bersama pelakon Uqasha Senrose, Fattah Amin dan Fazura.
Seterusnya, namanya semakin meledak apabila bergandingan bersama penyanyi Siti Nordiana menerusi telefilem Cekelat Semanis Honey dan Cekelat Tak Semanis Honey serta drama Cekelat Honey.
Perbaiki kelemahan
Setiap individu pasti ada kelemahan. Menurut Fikry, dia masih mempelajari ilmu pengetahuan am berhubung lakonan dan pengacaraan.
Biarpun tidak berkesempatan mengikuti pengajian khusus, tapi dia tetap mencuri peluang dengan membaca buku ilmiah sebagai pengetahuan asas lakonan dan pengacaraan.
Katanya, dia mahu memperbaiki pengetahuan am lakonan antaranya untuk bagaimana memahami watak.
“Makin lama dalam industri ini, banyak hal yang perlu saya belajar dan teroka.
“Bahkan dari aspek pemahaman lakonan juga sedikit sebanyak membantu saya sebagai seorang pengacara. Hal itu, dapat membantu saya untuk berkomunikasi dengan lebih baik dan mengawal situasi dalam sesebuah program dikendalikan.
“Sebab itu, dari dulu lagi saya suka membaca buku-buku ilmiah berkaitan apa cabang yang saya ceburi. Kadang-kala orang yang kita jumpa, suka menilai dari segi percakapan dan pemikiran kita,” jelasnya.
Antara program dikendalikan jejaka berkulit sawo matang ini ialah Gema Gegar Vaganza musim pertama dan kedua, Hotspot, Experience Ready Set Action, dan Mana Bro.
Dalam perkembangan lain, Fikry yang mengusahakan perniagaan Feeks Empire dengan menjual vitamin C sejak pertengahan tahun 2020, berkata, usaha yang dilabur semakin menunjukkan prestasi memberangsangkan.











