KETUA BUKAN RAJA
Kebanyakan wanita sama ada sudah mendirikan rumahtangga atau pun belum, tentu sudah terbiasa ‘ditarbiah’ dengan ajaran air tangan isteri penting untuk memikat suami.
Iyalah, penting katanya untuk mengikat perut suami melalui air tangan isteri. Tapi perut suami sajakah yang perlu dijaga?
Memang tidak ada salahnya isteri memasak untuk suami, namun adakah tugas menyediakan makanan itu patut digalas oleh bahu isteri semata-mata?
Sedangkan dalam Islam sendiri sudah mengatakan bahawa yang perlu menguruskan rumahtangga adalah suami.
Suami yang bertanggungjawab dalam tugas memasak, mengemas rumah serta menguruskan pakaian.
Melainkan jika isteri sendiri yang secara sukarela ingin membantu, maka ia dibenarkan. Suami pula tidak boleh memaksa.
Namun, ramai juga suami yang sengaja tidak mengendahkan kenyataan ini. Manakan tidak, ramai yang bersikap seumpama raja di rumah. Balik kerja makanan sudah terhidang, rumah sudah tersusun kemas dan pakaian juga sudah diuruskan.
Buktinya, tidak lama dahulu Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) melaporkan peningkatan 44 peratus isu keganasan rumah tangga sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
Lebih sadis, antara aduan yang diterima mengatakan si isteri dipukul kerana tidak masak atau tidak buat kerja rumah. Alahai!
Sedangkan suami itu peranannya adalah ketua keluarga. Ketua yang menguruskan rumahtangga, memimpin serta mendidik anak dan isteri.
Bukan jadi raja dalam rumah mengharapkan isteri untuk menguruskan semuanya. Kalau hendak isteri sayang dan hormatkan suami, suami pun perlulah hormat dan kasihani isteri supaya bahtera yang dikemudi bersama tidak karam dibadai gelora.
KUNCI BAHAGIA
Permuafakatan, tolak ansur dan saling bantu-membantu adalah antara kunci utama dalam mengekalkan kebahagiaan dalam rumahtangga yang dibina.
Terutamanya dalam aspek pengurusan rumah yang memerlukan kedua-dua belah pihak bekerjasama agar tidak berlaku ketidakadilan kepada suami mahu pun isteri.

Disebabkan itu, pasangan muda, Zulfathly Kamarolzaman dan Nur Liyana Hamizan mengambil inisiatif saling membantu antara satu sama lain menguruskan rumahtangga terutamanya dalam aspek penyediaan makanan.
Bagi Zulfathly atau lebih mesra disapa sebagai Zul, menguruskan rumah tangga seperti memasak, mengemas rumah dan sebagainya sememangnya tanggungjawab seorang suami mengikut hukum Islam.
Menyedari hal itu, sejak di awal perkahwinan lagi, lelaki asal Seremban itu tidak pernah culas membantu isterinya untuk menguruskan rumah terutamanya dalam hal memasak.
“Bagi saya, bukan suami sahaja perlu merasa air tangan isteri tetapi isteri juga perlu rasa air tangan suami.
“Orang selalu kata kalau suami dan anak-anak makan makanan daripada air tangan isteri dan ibu, maka anak dan suami akan sayang kepada mereka.
“Jadi, saya juga mahu begitu. Saya mahu masak kepada isteri dan anak saya supaya mereka juga lebih sayang pada saya,” katanya kepada Utusan.
Pasangan berusia 29 tahun itu mendirikan rumahtangga sejak 2018 lalu dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Ziyad Firas berusia tiga tahun.
Ditanya mengenai kemahiran memasak, pengaturcara di sebuah syarikat swasta itu berkata, secara jujurnya dia bukanlah handal memasak sejak azali.
Namun, merasakan adanya tanggungjawab besar selepas berkahwin membuatkan dirinya mempelajari ilmu masakan dari semasa ke semasa untuk keluarga tercinta.
Menggunakan medium media sosial dan pelbagai aplikasi internet yang tersedia masa kini, pelbagai resipi menarik dapat dipelajari dan dicuba.
“Semasa bujang dulu ada juga tengok video-video masakan di Youtube dan Instagram tapi tidak pernah mencuba. Selepas kahwin baru saya mula praktikkan menu-menu yang saya lihat di internet itu.
“Perasaan penat saya tolak tepi kerana saya rasa tanggungjawab kepada anak dan isteri lebih penting daripada perasaan itu,” katanya lagi.
Lebih bahagia bila saling bantu membantu
Bagi Liyana pula, sikap ringan tulang suaminya itu sangat membahagiakan dia sebagai seorang isteri.
“Sudah tentu saya rasa seronok sangat apabila suami sudi untuk menguruskan rumah bersama-sama. Tambahan pula, kami berdua sama-sama bekerja. Kadangkala apabila saya pulang, makan malam sudah pun tersedia.
“Lagi pula, dia suka mencuba resipi yang pelbagai, terutamanya masakan barat, jadi setiap kali dia beritahu dia masak saya akan teruja untuk mencuba menu baharu yang dia sediakan,” katanya yang bekerja sebagai pegawai pemasaran digital.
Tambah wanita asal Jempol itu, mereka saling melengkapi antara satu sama lain meskipun dalam perihal masakan.
Hal ini kerana suaminya lebih pakar dalam masakan barat berbanding dirinya yang lebih mahir dalam masakan lauk kampung.
“Jadi, kami bergilir-gilir masak. Kadangkala saya akan masak untuk makan tengahari dan suami pula akan masak untuk makan malam. Oleh itu, kami selalunya akan bertukar-tukar menu.
“Sejujurnya saya rasa suami masak lebih sedap. Anak saya sendiri pun makan lebih banyak jika suami yang masak,” katanya sambil tertawa.
Tegasnya, penggiliran melakukan urusan rumahtangga secara tidak langsung memberikan keharmonian dalam perhubungan.










