PETALING JAYA: Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan waris Kesultanan Sulu, Sultan Jamalul Kiram II yang dibuat melalui satu prosiding timbang tara di Madrid, Sepanyol.
Malah, negara ini juga tidak akan melayan tuntutan RM62.59 bilion yang dibuat oleh pihak berkenaan yang mendakwa melanggar perjanjian 1878 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam, baron De Overbeck dan Alfred Dent daripada Syarikat British Utara Borneo.
Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan bersama berkata, tuntutan tersebut bukan bersifat komersial dan tidak boleh dibawa ke prosiding timbang tara.
Malah, katanya, Perjanjian 1878 sendiri tidak mengandungi sebarang perkara dalam peruntukan timbang tara.
“Identiti pihak yang mendakwa waris yang melakukan tuntutan itu juga diragui dan belum disahkan,” kata kenyataan tersebut, semalam.
Sebelum ini laman web berita Sepanyol La Informacion melaporkan penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan kepada waris Sultan Sulu berjumlah AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion).
Laporan itu menyebut, pihak berkenaan mendakwa Malaysia tidak membayar wang pemisahan sejak 2013 dan dikatakan melanggar perjanjian 1878 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam, Baron De Overbeck dan Alfred Dent milik syarikat British Utara Borneo.
Kata kenyataan itu, berdasarkan keputusan pada 14 Januari 2020, Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak yang bersidang di Kota Kinabalu telah membuat keputusan tidak memihak kepada pihak yang menuntut dengan memutuskan Perjanjian 1878 tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara.
“Dalam isu ini, penimbang tara tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan perkara dibangkitkan dan Mahkamah Tinggi Sabah adalah forum neutral serta teratur untuk memutuskan apa-apa tuntutan berkenaan Perjanjian 1878 itu.
“Kerajaan Malaysia sendiri sudah memfailkan permohonan untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan keputusan Mahkamah Tinggi Sabah itu di Mahkamah Tinggi Madrid di Sepanyol, bagaimanapun, permohonan itu belum didengar,” katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) berkata, kesultanan Sulu bukan lagi entiti politik yang menguasai wilayah Sabah sejak 1878.
Malah, katanya persoalan timbul selepas waris Kesultanan Sulu tidak secara berterusan membantah amalan kedaulatan Malaysia ke atas Sabah sejak 1963.
“Dari sudut pandang undang-undang antarabangsa, sekiranya tuntutan ini dikatakan patut dipenuhi, atas dasar apa ia perlu dilayan? Kesultanan Sulu bukanlah entiti berdaulat yang sudah pun dihapuskan pihak Amerika Syarikat lebih seratus tahun yang lalu melalui Perjanjian Carpenter 1915.
“Kenapakah Malaysia perlu membayar pampasan kepada sesuatu ‘entiti politik’ yang bukan lagi penguasa wilayah Sabah sejak 1878,” soalnya. – UTUSAN










