PENEMUAN beberapa bukti awal yang dikaitkan dengan binaan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka abad ke-15 di sebuah masjid lama yang terbiar usang di Kampung Belimbing Dalam, Melaka tentunya bakal membuka sejarah baharu di negeri Hang Tuah ini.
Masakan tidak, jika benar ia dapat dibuktikan dengan fakta ilmiah, masjid usang menanti rebah itu boleh diiktiraf sebagai binaan masjid tertua di Malaysia. Malah, tidak berselindung lagi masjid itu akan mengetepikan Masjid Kampung Laut di Kelantan yang kini diiktiraf sebagai masjid tertua di Malaysia yang dibina pada abad ke-18.
Tiga petunjuk awal yang didakwa menjadi alasan kukuh membuktikan masjid lama di tanah wakaf belakang Masjid Imam Muslim itu berusia 600 tahun adalah berdasarkan batu laterit, bata nipis dan penggunaan tanggam kayu pada binaannya.
Ini diterangkan pakar sejarah tamadun Islam yang juga Pengasas Maktab Penyelidikan Tamadun Alam Melayu dan Islam, Hasanuddin Yusof yang berpengalaman luas mengenai sejarah ratusan masjid di alam Melayu dari selatan Thailand hingga ke Indonesia.
Menurutnya, terdapat banyak ciri persamaan binaan masjid lama di Kampung Belimbing Dalam dengan masjid-masjid di Jawa, Indonesia yang dibina pada abad ke-15.
“Antaranya adalah penggunaan bata yang nipis, batu laterit yang digunakan pada binaan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dan kaedah tanggam pada kayu dan bingkai kerana tidak menggunakan paku.
“Kedudukan masjid yang terletak di tepi Sungai Melaka menjadikan ia sangat signifikan terdapatnya perkampungan Islam di sini yang menjadi bukti awal masjid ini selewat-lewatnya dibina pada tahun 1700.
“Malah ada kemungkinan lebih awal jika Portugis tidak menguasai tidak menguasai Melaka,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Ujar Hasanuddin, seni reka masjid yang unik dengan laluan air dari punca utama air ke kolah mengambil wuduk juga menggambarkan kepandaian dan kehebatan orang Islam pada zaman tersebut.
“Penggunaan batu laterit sama seperti pembinaan Perigi Hang Tuah di Duyong dan beberapa masjid lain di Nusantara, Selatan Thailand, Myanmar yang turut mempunyai ciri-ciri sama membuktikan kegemilangan agama Islam yang tersebar luas pada zaman itu,” katanya.
Justeru, beliau berharap peninggalan sejarah yang masih ada itu dapat diselamatkan dan dipulihara serta dipelihara demi masa depan generasi muda dan nilai sejarah kepada negara.
“Sedangkan Masjid Kampung Laut yang menggunakan seni bina kayu boleh dipindahkan inikan pula struktur masjid yang menggunakan batu laterit yang masih kukuh,” ujarnya.

Perlu bukti sebelum iktiraf
Pemangku Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Zuliskandar Ramli berkata, penemuan awal itu perlu dibuktikan secara fakta sebelum mengiktiraf masjid lama di Kampung Belimbing Dalam itu dibina pada abad ke-15 atau 16 Masihi.
“Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian awal, saya boleh katakan kebanyakan bahan binaan yang ditemui di masjid ini paling lewat pun ia sudah wujud pada akhir abad ke-17 atau sekitar tahun 1601 hingga 1700.
“Memang ada petunjuk awal mengaitkan ia mungkin dibina lebih awal pada abad Ke-15 atau 16 sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Bagaimanapun, sebagai ahli akademik, dapatan atau petunjuk awal itu perlu dibuktikan dengan kajian dan data emperikal untuk menyokong andaian berkenaan.
“Kita perlu buat kajian arkeologi yang mana bahan-bahan kayu masjid ini perlu di hantar ke Amerika Syarikat untuk dibuat kajian pentarikhan kronometrik yang lazimnya memerlukan masa sekitar sebulan untuk mendapat keputusan,” katanya.
Malah, beliau turut mencadangkan pihak berkuasa membuat kajian dilapidasi atau konservasi supaya masjid itu dapat dipulihara dan dipelihara memandangkan seni bina tersebut amat signifikan terhadap perkembangan Islam di Malaysia.










