Mengumpul barangan lama beri kepuasan

Mengumpul barangan lama beri kepuasan

barangan lama
Zakaria Meon mula mengumpul barangan lama sejak tahun 1975, ketika berusia 47 tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK dahulu, ada insan yang hobinya suka mengumpul barangan lama. Barangan itu berupa wang, barangan antik, dokumen bersejarah, buku, surat khabar, setem, dan sebagainya. Mereka sanggup berhabis wang ringgit demi menjayakan minat mereka.

Zakaria Meon, 71 tahun, pesara guru dari Batu Pahat mempunyai hobi mengumpul pelbagai barangan lama. Minat beliau tercetus sejak tahun 1975, ketika berusia 47 tahun. Beliau mengumpul keratan akhbar dan wang kertas. Semua bahan itu diletak dalam folder khas dan diletak dalam beberapa buah almari.

“Saya memang melanggan tiga buah akhbar sehari. Apabila melihat ada kandungan berita yang unik dan menarik, saya mula mengumpul dari semasa ke semasa. Selain menambah pengetahuan saya, saya dapat kongsikan bahan dengan anak-anak dan rakan-rakan. Hal itu amat memberi kepuasan kepada saya,” ujarnya.

“Terdapat pelbagai tema yang dikumpulkan. Contohnya tema tokoh dan pemimpin negara, binatang berunsur ganjil, bencana alam, raja dan sultan, objek pelik, bahan tulisan jawi, keagamaan dan motivasi.”

Bekas guru yang mengajar Pendidikan Islam dan Bahasa Melayu ini berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan kini bermastautin di Batu Pahat. Rumahnya menjadi tempat menyimpan koleksi berkenaan dan dipelihara dengan cermat.

Wang kertas

Wang kertas lama dari pelbagai negara juga ada dalam koleksi beliau. Antaranya, wang negara-negara Asia seperti Iraq, Jepun, Thailand, India dan China. Wang kertas ‘daun pisang’ zaman pendudukan Jepun 1940-1945 juga beliau miliki.

Hobi beliau ini mendapat sokongan isteri, anak-anak dan rakan-rakan. Beliau berjaya memanfaatkan akhbar daripada terbuang begitu sahaja. Tentunya beliau tidak akan menjual mana-mana bahan yang dimilikinya.

Bagaimanapun, ada rakan-rakannya meremehkan usaha beliau dan dianggap sesuatu yang membuang masa. Namun, beliau tetap cekalkan hati dan terus gigih berusaha mengumpul bahan-bahan itu.

Antara bahan yang sangat berharga yang dimilik ialah buku berkulit tebal Sejarah Kesultanan Johor, foto berwarna Almarhum Sultan Iskandar Ibni almarhum Sultan Ismail, Sultan Johor. Foto itu semasa baginda masih muda dan berpakaian tentera, buku tebal Tokoh Ulama Johor dan keratan berita bekas jaguh tinju dunia, Muhammad Ali, semasa bertinju di Kuala Lumpur pada tahun 1975.

Ular sawa

Antara bahan berita menarik ialah foto ular sawa yang beratnya 140 kilogram menelan seorang peneroka Felda Redong, Labis pada 1995, yang menjadi berita sensasi pada masa itu. Foto itu dijual dengan harga yang sangat mahal serta foto Baitullah pada tahun 1888 Masehi. Begitu juga foto burung undan berkepala dua dan monyet yang menangkap ikan menggunakan lembing.

Beliau juga mempunyai koleksi foto dan berita tokoh negara, seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Muhammad. Keratan berita berkaitan pelbagai pemikiran Tun Dr Mahathir itu dapat dihayati dan menjadi koleksi berharga beliau.

Bahan-bahan bercorak motivasi yang tersiar di media massa turut beliau kumpulkan. Bahan itu mampu memberi suntikan motivasi dan inspirasi bukan sahaja kepada beliau, tetapi juga kepada orang lain yang menelitinya.

Beliau masih meneruskan minatnya hingga ke hari ini dan bercadang untuk mewujudkan bilik atau ruang pameran yang dapat memaparkan segala koleksi beliau. Ini supaya dapat dilawati oleh orang ramai dan pencinta barangan lama. Sebahagian bahan itu akan difremkan dan dilekatkan di dinding.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×