JOHOR BAHRU: Lima ikhtiar atau manifesto utama digariskan Barisan Nasional (BN) sebagai tawaran bagi mewujudkan Johor yang lebih makmur dengan memastikan kepentingan pelbagai lapisan masyarakat termasuk Orang Muda Johor (OMJ) dan warga Felda menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Selain OMJ sebagai antara lima daripada ikhtiar tersebut, BN turut menawarkan kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat, pentadbiran berintegriti dan reformasi politik sebagai ikhtiar BN seandainya rakyat Johor memilih gabungan itu pada 12 Mac ini.
Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, di bawah inisiatif kemajuan ekonomi, BN dalam masa lima tahun akan mengembalikan kehebatan ekonomi Johor yang pernah menjadi penyumbang tertinggi kepada keseluruhan pelaburan Malaysia.
Beliau berkata, semua mengetahui sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) antara yang terkesan dengan Covid-19 yang menyaksikan mereka memerlukan tujahan dana dan pelbagai sokongan untuk meneruskan perusahaan.
“Bagi mencapai hasrat itu, BN Johor melalui Johor Niaga akan melaksanakan tiga inisiatif utama. Salah satu daripadanya adalah pinjaman tanpa faedah RM100 juta oleh Bank Rakyat dan pelbagai bantuan kewangan tahunan.
“Dalam ikhtiar kesejahteraan rakyat, terdapat lapan inisiatif dilaksanakan menerusi Johor Berkebajikan termasuk pemberian bantuan kewangan tahunan sebanyak RM150 kepada setiap pelajar sekolah rendah dan menengah daripada keluarga berpendapatan RM3,001 hingga RM7,000.
“Pada masa sama, kos penjagaan anak juga akan dikurangkan dengan perluasan taska milik Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT). Taska ini menawarkan yuran penjagaan anak berpatutan kepada semua Bangsa Johor,” katanya pada pelancaran Ikhtiar BN Johor, semalam.
Syiar Islam
Sementara itu, Hasni menegaskan BN Johor kekal komited untuk menegakkan Syiar Islam dan Kemajmukan Johor melalui enam inisiatif antaranya menaik taraf Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah) ke status kolej universiti dan memperluaskan cukai tanah nominal yang kini diberikan kepada masjid dan surau kepada rumah ibadat bukan Islam.
Kata beliau, BN Johor juga akan meningkatkan kualiti hidup masyarakat desa dengan lima inisiatif utama antaranya memudah cara pembinaan Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) dan melantik wakil kerajaan negeri dalam Lembaga Felda.
Hasni pada sama turut menyentuh berkaitan infrastruktur awam dan perumahan rakyat dengan pelbagai perancangan antaranya mengintegrasikan sistem pengangkutan yang tersusun dan dinamik selain menubuhkan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor untuk penyelesaian jangka panjang.
“Selain itu, di bawah ikhtiar ketiga iaitu OMJ, BN Johor akan mewujudkan lebih banyak rumah transit kepada golongan belia yang layak dengan sewa berpatutan di kawasan-kawasan strategik dan menyediakan bantuan kewangan RM500 kepada mahasiswa dari keluarga B40.
“Bagi ikhtiar pentadbiran berintegriti, setiap Ahli Dewan Undangan Negeri diwajibkan mengisytiharkan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta memperkenalkan petunjuk prestasi utama (KPI) kepada mereka, pegawai utama kerajaan negeri dan ketua kampung,” katanya.
Dalam pada itu, Hasni mengulangi pendirian BN Johor untuk terus memupuk naratif politik baharu yang matang bagi menjamin kestabilan masa depan rakyat dan negeri menerusi inisiatif reformasi politik iaitu meneruskan peruntukan tahunan RM200,000 untuk ADUN kerajaan dan pembangkang secara sama rata.
“Selain itu, bagi memperkasa peranan demokrasi, dengan mandat dua pertiga kelak, persempadanan semula akan dilaksanakan bagi Dewan Undangan Negeri yang mempunyai jumlah pengundi yang ramai,” katanya.
Menurut beliau, sudah tiba masa untuk rakyat Johor menentukan masa depan yang stabil buat negeri dan bangsanya dengan bersama-sama memakmurkan Johor dengan ekonomi yang maju, perniagaan yang bercambah, infrastruktur yang moden dan kualiti hidup yang terbaik.
“Ingatlah, Johor harus tetap jadi Johor. Kelima-lima ikhtiar ini adalah untuk mencapai dan menyokong matlamat utama BN Johor iaitu menjadikan Johor sebagai negeri yang makmur sambil didukung oleh naratif politik baharu yang matang lagi stabil.
“Ikhtiar dan inisiatif utama yang telah saya sebutkan merupakan ikhtiar dan inisiatif yang realis. Kita tidak berjanji. Kita berikhtiar dan ikhtiar-ikhtiar kita akan terus dikembang dan diperkasakan semata-mata untuk kemakmuran Johor Darul Takzim,” katanya.- UTUSAN











