KPJ Healthcare terbit Sukuk Wakalah bernilai RM650 juta

Sukuk Wakalah KPJ Healthcare terlebih langgan 10.3 kali

AHMAD SHAHIZAM MOHD. SHARIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) kembali ke pasaran sukuk tempatan dengan terbitan sulung Sukuk Wakalah bernilai RM650 juta. Ia di bawah Program Sukuk Wakalah dengan nilai nominal RM3 bilion.

Program Sukuk Wakalah bercirikan kelestarian itu memberikan fleksibiliti kepada KPJ Healthcare untuk menerbitkan sukuk lestari bagi memperkasakan lagi agenda kelestariannya.

Menurut KPJ Healthcare, tawaran Sukuk Wakalah melalui syarikat milik penuhnya, Point Zone (M) Sdn. Bhd. merupakan terbitan pertama seumpamanya di pasaran sukuk tempatan oleh penerbit sukuk yang terlibat secara langsung dalam sektor penjagaan kesihatan.

“Saiz terbitan telah ditingkatkan kepada RM650 juta daripada saiz permulaan RM500 juta disebabkan permintaan yang tinggi daripada para pelabur.

“Hasil daripada terbitan Sukuk ini akan digunakan KPJ Healthcare untuk tujuan pembiayaan yang patuh Syariah. Termasuk untuk mengembangkan perniagaan, perbelanjaan modal dan tujuan am korporat yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan dan seumpamanya bagi Kumpulan KPJ,” katanya dalam kenyataan.

Tambah KPJ Healthcare, Program Sukuk Wakalah itu telah diberikan penarafan AA-IS(CG) (stabil) oleh Malaysian Rating Corporation Berhad.

Jelasnya, Maybank Investment Bank dan OCBC Al-Amin Bank Berhad (OCBC Al-Amin) merupakan Penasihat Utama Bersama, Pengatur Utama Bersama dan Penasihat Penstrukturan Kelestarian Bersama bagi Program Sukuk Wakalah itu. Manakala Affin Hwang Investment Bank Berhad, HSBC Amanah Malaysia Berhad, Maybank Investment Bank dan OCBC Al Amin bertindak sebagai Pengurus Utama Bersama.

Penawaran sukuk

Mengulas kejayaan penawaran Sukuk tersebut, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Ahmad Shahizam Mohd Shariff berkata, tawaran Sukuk menandakan kejayaan KPJ Healthcare Kembali ke pasaran modal tempatan selepas lebih sedekad tanpa terbitan di pasaran.

“Kami amat berpuas hati dengan sambutan kukuh yang daripada pelabur dan kejayaan penerbitan ini. Sambutan yang luar biasa daripada pelabur kepada transaksi ini adalah petanda jelas keyakinan pasaran terhadap strategi bisnes Kumpulan KPJ dalam usaha kami mencipta nilai jangka panjang yang mampan kepada pemegang taruh kami. Ia didokong oleh rekod operasi kami yang melebihi empat dekad dalam sektor penjagaan kesihatan swasta Malaysia,” katanya.

Proses rundingan tawaran yang berlangsung pada 23 Februari lalu dari awal lagi telah menerima permintaan yang sangat tinggi daripada pelbagai pelabur dalam pasaran modal. Melibatkan pelabur institusi termasuk pengurus dana, syarikat insurans, syarikat berkaitan kerajaan, institusi perbankan dan pelabur ‘high networth’ dengan permintaan pada keseluruhan langganan RM6.7 bilion diterima pada akhir proses rundingan, memberikan lebih langganan sebanyak 10.3 kali.

Permintaan daripada pelabur yang terus berada pada nilai langganan yang tinggi sepanjang tempoh rundingan berlangsung serta sambutan luar biasa. Ini membolehkan KPJ Healthcare memuktamadkan proses penetapan harga dibida. Ia mengurangkan kadar hasil keseluruhan sebanyak 20 hingga 30 mata asas dan akhirnya Sukuk Wakalah 5-tahun, 7-tahun dan 10-tahun. Masing-masing ditetapkan pada kadar keuntungan 4.29, 4.58 dan 4.66 peratus, dengan nisbah bida kepada liputan 10 kali pada penutup hari perniagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×