SETELAH mengunjungi Indonesia, Singapura dan Brunei, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluaskan jangkauan ke rantau ASEAN dengan mengunjungi dua lagi negara jiran, iaitu Kemboja dan Thailand dari 23 hingga 26 Februari lalu.
Dari sudut sejarah, hubungan diplomatik yang terjalin antara Malaysia dan Kemboja sejak 65 tahun dahulu agak instrumental, apatah lagi bila Malaysia telah menyumbang ke arah tercapainya keamanan di Kemboja setelah berlaku perang saudara di negara itu. Banyak aspek hubungan dua hala yang mampu dipertingkatkan khususnya melalui perbincangan empat mata antara beliau dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen. Antaranya persetujuan pertukaran lawatan perlu dipertingkatkan lagi untuk membuka lebih banyak peluang dalam pertumbuhan kerjasama pelbagai dimensi ke arah pemulihan pascapandemik Covid-19.
Begitu juga persetujuan komuniti perniagaan meneroka dan memperluaskan kolaborasi dalam bidang teknologi komunikasi maklumat (ICT), teknologi kewangan (fintech), keselamatan siber, perusahaan kecil dan sederhana dan perniagaan permulaan (start-up) bagi meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.
Seterusnya kerjasama dalam industri halal melalui penawaran bantuan untuk membangunkan ekosistem halal di Kemboja diikuti kerjasama untuk menyokong usaha-usaha pembangunan belia di kedua-dua negara terutama dalam bidang keusahawanan.
Lebih-lebih lagi Kemboja mempunyai peranan penting di rantau ini selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.
Antara yang dekat di hati Ismail Sabri adalah isu Myanmar di mana beliau menyatakan pendirian supaya semua pihak bersama-sama berusaha untuk melaksanakan Konsensus Lima Perkara ASEAN (5PC) dengan berkesan dan menyeluruh. Perdana Menteri juga menyatakan sokongan berterusan Malaysia ke atas usaha-usaha yang dilakukan oleh Kemboja sebagai Pengerusi ASEAN serta Utusan Khas Pengerusi ASEAN dalam menangani situasi di Myanmar dengan berkesan.
Selain itu, Perdana Menteri juga menekankan keperluan isu pelarian Rohingya terus diberikan tumpuan dalam perbincangan di peringkat ASEAN kerana ia bukan hanya isu serantau tetapi perlu diselesaikan di peringkat antarabangsa.
Dalam isu Laut China Selatan pula, Ismail Sabri berpandangan bahawa apa-apa isu yang timbul perlu kita tangani secara rasional, aman dan konstruktif mengikut prinsip-prinsip undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982. Beliau juga menyampaikan pegangan Malaysia agar Laut China Selatan perlu kekal menjadi laluan perdagangan dan perairan yang aman.
GAJAH PUTIH
Dari Kemboja, Perdana Menteri ke negara jiran yang lebih dekat, iaitu Thailand. Ismail Sabri mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Prayut Chan-o-cha yang menjadi tumpuan ramai. Perbincangan empat mata ini bukan satu praktis biasa negara Gajah Putih itu tetapi oleh kerana hubungan yang akrab, format pertemuan itu dipersetujui.
Paling ditunggu-tunggu pastilah pembukaan semula sempadan bagi memulihkan jaringan ekonomi dan perniagaan kedua-dua pihak yang terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19 terutama sektor pelancongan. Persetujuan yang dicapai adalah agar perbincangan digiatkan untuk membuka semula sempadan udara, darat dan laut dalam masa terdekat melalui skim Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) bagi Malaysia atau Test & Go bagi Thailand.
Kedua-dua negara akan melaksanakan VTL-udara Kuala Lumpur-Bangkok bagi pengembara lengkap vaksinasi serta pertimbangan untuk menambah destinasi lain pada masa akan datang. Ini diikuti VTL-darat melalui Bukit Kayu Hitam-Sadao serta semua pos Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di utara Semenanjung dan selatan Thailand serta VTL-laut Langkawi-Satun.
Pelaksanaan VTL-darat amat penting bukan sahaja melibatkan pelancongan, perdagangan sempadan menyumbang 50 peratus daripada jumlah dagangan Malaysia-Thailand kira-kira AS$10.5 bilion (RM44.1b).
Kedua-dua pemimpin juga bersetuju agar mengiktiraf sijil vaksinasi Covid-19 masing-masing. Sebagai langkah susulan, aplikasi MySejahtera akan diintegrasikan dengan aplikasi MorProm Thailand yang akan memudahkan perjalanan dan pergerakan rentas sempadan.
Selain itu, kedua-dua pihak mengulangi komitmen untuk meningkatkan kerjasama di bawah kerangka Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) terutama Projek Kesalinghubungan Fizikal (PCP) dan kepentingan merealisasikan Wawasan IMT-GT 2036.
Mengenai usaha pemulihan ekonomi, kedua-dua pihak menyatakan komitmen bagi mencapai sasaran perdagangan dua hala sebanyak AS$30 bilion (RM126b) menjelang 2025.
Mereka juga bersetuju untuk meneroka peluang pelaburan baharu seperti sektor ekonomi digital, ekonomi hijau dan ekonomi edaran di Malaysia serta model ekonomi bio-circular-green (BCG) dan sektor baharu lain seperti penyelidikan dan pembangunan vaksin, kenderaan elektrik dan pintar, automasi dan robotik di Thailand.
Turut sama dibincangkan ialah projek kesalinghubungan Malaysia-Thailand iaitu pembinaan jajaran jalan menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao serta pembinaan jambatan di Rantau Panjang-Sungai Golok dan Pengkalan Kubor-Tak Bai.
Paling menyerlah, persetujuan untuk mengadakan kajian kebolehlaksanaan pembinaan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala umpur-Bangkok di mana mereka akan meminta kementerian serta jabatan berkaitan untuk mengambil tindakan segera. Inilah jiwa besar kedua-dua pemimpin yang nyata berpandangan jauh untuk masa hadapan demi kepentingan, pembangunan dan kemajuan Malaysia-Thailand walaupun pembinaan HSR Kuala Lumpur-Bangkok ini akan mengambil masa tetapi ia haruslah dimulakan.
Bila HSR Kuala Lumpur-Bangkok ini direalisasikan maka akan semakin dekatlah hubungan antara Malaysia dan Thailand serta membantu dalam meningkatkan lagi kepesatan aktiviti-aktiviti ekonomi di kedua-dua negara jiran ini. Jika berjaya, ini juga bakal menjadi salah satu instrumen kesalinghubungan antara penduduk di negara-negara ASEAN terlibat. – UTUSAN
DATUK Nor Nazimah Hashim ialah Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri.










