Gelar saya penyanyi cukup, tanpa nombor 1 – Siti Nurhaliza - Utusan Malaysia

Gelar saya penyanyi cukup, tanpa nombor 1 – Siti Nurhaliza

Datuk Seri Siti Nurhaliza berpandangan ada pelbagai faktor irama Malaysia dipandang sepi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Siapa tidak kenal Datuk Seri Siti Nurhaliza, figura yang memiliki bakat nyanyian yang cukup sempurna yang dianugerahkan Ilahi.

Malah, Siti Nurhaliza yang lebih disapa TokTi ini dikenali juga dengan sifat yang lemah lembut dan sopannya dalam menyantuni para peminat serta orang sekeliling.

Usai 26 tahun dalam industri seni tanah air, penyanyi lagu popular Kesilapanku Keegoanmu ini memiliki aura dan karisma tersendiri sebagai seorang anak seni.

Walaupun menggalas gelaran penyanyi nombor satu negara, Siti sama sekali tidak pernah melabel gelaran itu pada diri sendiri, sejak dulu lagi.

Malah, dengan sifat rendah diri yang ada, gelaran ‘penyanyi’ sudah cukup buatnya.

“Saya tidak pernah melabel, mengakui atau meminta gelaran tersebut. Saya penyanyi dan melakukan tugas saya selama hampir 26 tahun di dalam industri.

“Menggelarkan saya penyanyi saja cukup tanpa nombor satu itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sudah lebih dua dekad dalam industri, penyanyi ini sentiasa mengambil peluang yang ada di depan mata dan berusaha sedaya upaya apa yang belum dilakukan.

“Alhamdulillah, di dalam merancang kerjaya, saya perlu mengambil apa peluang yang ada di depan mata terlebih dahulu.

“Kemudian saya akan berusaha mencapai apa yang belum saya lakukan. Sebenarnya saya hanya mahu terus konsisten selagi saya diterima.

“Selain mengadakan lagi album, konsert dan melaksanakan impian-impian lainnya, muzikal contohnya.

Banyak faktor Irama Malaysia SURAM
Apa sahaja yang tidak mampu dilakukan oleh seorang legenda ini? Jika dilihat, segala genre muzik Siti Nurhaliza dapat lunaskan. Dari genre irama Malaysia, lagu bergenre rancak juga mampu ditawannya.

Ibu kepada dua orang cahaya mata ini juga popular dengan beberapa buah lagu irama Malaysia seperti Hati Kama, Cindai, serta Joget Kasih Tak Sudah.

Namun, genre itu dilihat bagaikan kian ‘samar’ dalam industri muzik tanah air. Malah, boleh dikira dengan jari sahaja penyanyi yang masih ‘bernafas’ dalam genre ini.

Bagi Siti, pelbagai faktor yang membuatkan irama Malaysia di negara ini dipandang sepi.

Bagaimanapun, genre ini dapat diangkat dan dikenali semula masyarakat jika ada syarat wajib siar di corong-corong radio yang ditetapkan pihak tertentu.

“Susah untuk saya huraikan tetapi banyak faktor sebenarnya. Syarikat rakaman, stesen radio, kebanjiran lagu-lagu pop dan banyak lagi.

“Jika ada syarat wajib siar lagu tradisional di radio-radio, dan ditetapkan oleh kerajaan misalnya, ini akan membantu,” katanya.

Sedar lagu irama Malaysia semakin dipinggirkan, dia sudah tentunya genre sebegini yang pernah dipopularkannya suatu ketika dahulu, punyai tempat tersendiri dan tidak tenggelam begitu sahaja.
“Sebagai penyanyi, tentunya saya mahu lagu tradisional ada tempat dan tidak akan tenggelam dalam arus kemodenan.

“Setiap kali saya adakan konsert tradisional atau segmen tradisional di dalam persembahan, saya dapat lihat sambutan yang luar biasa, kita boleh sama-sama melakukannya jika kita berani,” ujarnya.

tetap selit lagu tradisional
“Lebih banyak pencipta berani menampilkan karya tradisional, boleh digubah dengan penerimaan zaman kini.

“Radio mesti memainkan lagu-lagu sebegini kerana semakin kerap dimainkan akan memberi lebih pendedahan kepada pendengar muda,” katanya.

Adakah penyanyi kesayangan ramai ini ingin membuat come back dengan karya irama Malaysia? Menurut penyanyi lagu Wajah Kekasih ini, walau sejujurnya tidak begitu berani untuk tampil dengan genre tersebut, namun dia tetap akan menyelitkan lagu-lagu tradisional di dalam album keluarannya.

“Jika untuk sebuah album, jujurnya saya tidak begitu berani kerana ruang promosi lagu sebegini di radio-radio masih kurang kecuali gabungan bersama irama moden.

“Saya tetap akan menyelitkan lagu tradisional di dalam album saya seperti lagu Teratai Menjelma di dalam album Mani­festaSiti2020,” katanya.

Mereka ada cara, alasan pemilihan juri
Kebela­kangan ini, setiap kali artis atau selebriti yang dilantik sebagai juri dalam sesebuah pertandingan, pastinya akan menjadi bahan pertikaian golongan warganet.

Bagi pendapat Siti yang juga juri bagi program Big Stage 2022 ini, sudah tentu pihak penganjur punyai alasan tersendiri mengapa memilih seseorang itu untuk menduduki kerusi juri.

“Pemilihan juri tentunya dibuat oleh penganjur atau penerbit setiap program. Tentunya mereka ada cara, alasan dan pemikiran mengapa seseorang juri itu dipilih untuk sesebuah program.

“Jika berfokus kepada program seperti Big Stage atau program nyanyian, pihak juri tentulah mereka yang terlibat atau ahli dalam bidang nyanyian berdasarkan pengalaman masing-masing.

“Ada juri yang mempunyai latar belakang muzik, ada juri yang bersandarkan pengalaman, penglibatan dan sebagainya. Asasnya, perlu ada ilmu, faham dan terlibat secara langsung dengan industri,” katanya.

Tambah penyanyi lagu Nirmala ini, seorang juri juga punyai peranan tersendiri, bukan sekadar ada sahaja dalam sesebuah pertandingan.

Dia sebagai juri yang banyak pengalaman dalam bidang nyanyian, semestinya mahu juga berkongsi serba sedikit ilmu dan membina semangat para peserta.

“Ini berbalik kepada pihak penerbit, apa yang mereka mahukan dalam sesuatu program. Juri ada peranan dan bukan sekadar nama atau duduk di kerusi.

“Memberi sepatah dua kata, kerana saya sebolehnya akan selalu positif membantu dan membina semangat serta menambah baik apa yang peserta perlu lakukan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×