Pertahanan: Ke mana hala tuju kita?

Pertahanan: Ke mana hala tuju kita?

PENULIS (kanan) diberi penerangan tentang simulator pesawat yang dibangunkan oleh Havelsan semasa lawatan ke Turki, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA negara jiran berbelanja besar dengan pelbagai kelengkapan pertahanan termasuk pesawat pejuang Rafale, ada pihak mula membandingkan dengan dasar pertahanan kita. Tambah pedih apabila Amerika Syarikat (AS) turut menawarkan pesawat pejuang F-15EX untuk negara tersebut.

Dengan populasi lebih 200 juta orang dan dikelilingi ribuan pulau, sudah pasti pembelian besar-besaran itu menjadi satu keperluan untuk angkatan tentera mereka. Tiada catatan luar biasa berkenaan pembelian itu. Perolehan tersebut sebenarnya menunjukkan negara seberang sana tidak sesekali memandang enteng industri ini.

Yang menjadi tanda tanya sekarang, apa sebenar hala tuju kita dalam industri pertahanan selepas hampir 65 tahun mencapai kemerdekaan?

Saya terus teringat beberapa projek atau usaha yang pernah dilaksanakan negara suatu ketika dahulu. Bermula dengan pembangunan misil Taming Sari sehingga apa yang berlaku terhadap projek kapal peronda generasi baharu (NGPV) dan kapal tempur pesisir pantai (LCS).

‘Tragedi’ melibatkan projek berkaitan pembangunan aset pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus berlaku berulang kali. Sebab itu semua pihak perlu melihat industri pertahanan ini secara serius untuk jangka masa panjang dan bukan sekadar lubuk buat duit mahupun ‘bola tanggung’ orang politik.

Pandangan segelintir pihak perlu melangkaui perolehan aset. Potensi dalam industri ini mampu memberi keuntungan bermula daripada sumber manusia sehinggalah pengguna serta menjadi pemangkin kepada ekonomi negara.

Tiada yang mustahil sebenarnya. Apatah lagi ada negara seperti Turki yang sentiasa membuka pintu dan memberi peluang kepada Malaysia untuk berganding bersama-sama memacu sektor ini. Hasrat ini dinyatakan sendiri oleh beberapa orang penting dalam industri pertahanan Turki semasa lawatan delegasi media Malaysia ke negara tersebut, baru-baru ini.

Sebagai contoh, Presiden Turkish Aerospace Industries, Profesor Temel Kotil memberi jaminan untuk melahirkan lebih ramai pakar dan jurutera dalam bidang pembuatan pesawat di Malaysia pada masa depan. Katanya, setakat ini Turkish Aerospace Industries menyediakan kursus kejuruteraan dalam bidang berkaitan kepada lebih 10 rakyat Malaysia selama dua bulan yang akan bermula April ini.

Malah, Presiden Industri Pertahanan Turki (SSB), Profesor Dr. Ismail Demir berkata, pihak industri pertahanan negara itu mahu melibatkan jurutera dan juruteknik dalam projek pengeluaran Hurjet milik Malaysia nanti sekiranya pembelian itu menjadi kenyataan. Beliau turut menjanjikan dalam tempoh 10 tahun, Malaysia akan dapat bersama-sama mengeluarkan pesawat tempur dengan Turki atau versi yang lebih maju. Selain Hurjet, Ismail turut mempelawa Malaysia untuk bekerjasama dalam pembangunan pesawat generasi kelima TF-X.

STRIDE

Itu belum lagi bercerita tentang kesediaan Aselsan untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi membangunkan misil sendiri selepas ketidaktentuan nasib dialami Taming Sari 98 di bawah program Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (Stride).

Apabila saya mengamati tawaran yang dibuat ketika kunjungan di Turki, mereka benar-benar serius. Ini bukanlah pertama kali Turki menyatakan hasrat sebegini. Paling menarik apabila Presidennya sendiri, Recep Tayyip Erdogan membuka peluang ini ketika pentadbiran Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Rekod Turki agak baik dalam penghasilan aset pertahanan sejak beberapa tahun lalu. Paling penting, sekiranya tawaran ini menjadi realiti, rantaian beberapa sektor akan melonjak naik bermula daripada elektronik, mikroelektronik dan reka cipta serta pembuatan.

Suatu perkara menarik, penguasaan Turki dalam bidang pertahanan mengambil masa yang lama dan bukan dibuat dalam tempoh singkat. Jadi, apakah rahsia kejayaan luar biasa Turki yang boleh kita pelajari? Mereka tiada rahsia, cuma mereka mempunyai tekad dan gerak kerja yang lebih tersusun di samping tahu ke mana hala tuju.

Sebelum melangkah lebih jauh, Turki menubuhkan satu badan yang merangka strategi untuk memenuhi keperluan pertahanan, seterusnya mewujudkan perusahaan dalam industri ini menerusi galakan kepada syarikat tempatan bagi bersama-sama terlibat. Apabila produk-produk yang memenuhi keperluan berjaya dibangunkan, Turki menjadi pelanggan utama dan ini sekali gus memastikan aliran tunai terus berjalan sama ada bagi tujuan pembangunan mahupun penyelidikan teknologi pertahanan mereka.

Tahun demi tahun, produk yang dihasilkan terus menunjukkan hasil dan Turki seterusnya mengorak langkah mencari rakan untuk mengeksport produk mereka termasuklah Malaysia. Tawaran Turki kepada Malaysia bukan hanya pertukaran antara duit dan barang semata-mata, sebaliknya lebih daripada itu termasuk tenaga pakar serta barangan komoditi.

Sebarang keputusan sudah pasti perlu melibatkan banyak pertimbangan. Akan tetapi pertimbangan wajar dibuat berasaskan keperluan, matlamat faedah kepada kita, bukan hanya laba pihak tertentu.

Jangan nanti selepas berpuluh tahun, kita masih bercakap perkara sama dan semuanya bercerita tentang dasar di atas kertas semata-mata tanpa ada jalan kerja. – UTUSAN

Mohamad Hafiz Yusoff Bakri ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×