PRN Johor: 42 kerusi empat penjuru - Utusan Malaysia

PRN Johor: 42 kerusi empat penjuru

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tiga dari kiri) bersama Menteri Besar Johor yang juga Penyelaras Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Datuk Hasni Mohammad (tiga, kanan) menunjukkan senarai 56 calon pada majlis pengumuman calon BN bagi PRN Johor di Dewan Perhubungan UMNO Johor di Johor Bharu kelmarin. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menyaksikan pertembungan empat penjuru di 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengumumkan calon masing-masing semalam.

Pada masa sama, kesemua 56 DUN akan berlaku pertandingan sekurang-kurangnya tiga ke empat penjuru walaupun Pejuang tidak meletakkan calon di 14 kerusi lain.

Penyertaan Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang bertanding solo turut menyebabkan beberapa kerusi akan berlaku pertandingan lima penjuru.

BN memutuskan bertanding di semua 56 kerusi DUN melibatkan tiga komponennya iaitu 37 daripada UMNO, 15 (MCA) dan empat (MIC) manakala rakan kerjasama di peringkat Persekutuan iaitu PN juga bertanding jumlah sama.

Bertanding

Selain itu, blok pembangkang PH bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) turut bertanding di 56 DUN dengan pembahagian iaitu PKR di 20 kerusi, DAP (14), Parti Amanah Negara (16) dan Muda (6).

PBM pula bakal menampilkan empat calon mereka di kerusi DUN Puteri Wangsa, Tiram, Stulang dan Maharani, sementara PSM meletakkan calon tunggal di kerusi Kota Iskandar.

Warisan juga sebelum ini sudah mengesahkan untuk mencuba nasib di kerusi DUN Pekan Nanas, Bukit Batu, Permas dan Johor Jaya, namun parti itu belum mengumumkan secara rasmi setakat ini.

Hanya calon-calon bebas belum mengesahkan penyertaan mereka walaupun timbul ura-ura mereka akan menghantar borang pencalonan pada hari penamaan calon hari ini.

Setakat kelmarin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan sebanyak 894 borang penamaan calon untuk PRN Johor telah dijual.

Ia melibatkan 580 borang penamaan calon terjual sejak Ahad lalu.

Mengikut statistik SPR Johor, jumlah itu menunjukkan peningkatan mendadak berbanding 222 borang penamaan calon yang terjual pada minggu pertama.

Katanya, PN membeli 295 borang penamaan calon diikuti BN (99), Pejuang (86), Muda (52), PKR (49), MCA (49), DAP (42), Amanah (34) dan Gerakan (30).

Sebanyak 21 lagi borang penamaan calon dijual kepada Pas, Bersatu (20), Warisan (lima), Pakatan Harapan (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu), lain-lain parti (55) dan individu (53).- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×