Khojaly: Pilunya masih dirasai

Khojaly: Pilunya masih dirasai

POSTER kempen oleh Azerbaijan di seluruh dunia bagi menarik perhatian masyarakat antarabangsa tentang tragedi di Khojaly pada 1992.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP tahun, dunia akan terus mengenang mangsa tragedi pembunuhan beramai-ramai Khojaly oleh Armenia. Tragedi pada tanggal 26 Februari 1992 itu mengorbankan ratusan penduduk awam. Wanita dan kanak-kanak turut tidak terlepas daripada menjadi mangsa.

Khojaly, sebuah bandar di wilayah Karabakh, Republik Azerbaijan mempunyai keluasan 94,000 kilometer persegi. Sebelum konflik tercetus, bandar ini merupakan tempat tinggal kepada 7,000 penduduk.

Pada malam 25 Februari itu, tentera-tentera penceroboh Armenia menghujani bandar Khojaly dengan pelbagai artileri berat selama dua jam. Bom demi bom digugurkan tanpa mengira sasaran hingga menyebabkan kemusnahan dan kematian yang dahsyat.

Bandar itu juga dikepung dan disekat dari tiga penjuru. Angkatan bersenjata Armenia dan unit askar upahan mereka sama sekali tidak menghiraukan rayuan penduduk Khojaly yang tidak berjaya meninggalkan bandar itu.

Akibatnya, seramai 613 orang awam terkorban termasuk 106 wanita dan 63 kanak-kanak. Seramai 1,275 penduduk Khojaly dijadikan tebusan manakala nasib lagi 150 orang tidak diketahui sehingga hari ini.

Lebih dahsyat, pengganas-pengganas Armenia yang dilaknat ini turut melakukan jenayah yang tidak terfikir dek akal manusia. Mereka mengerat anggota-anggota tubuh badan 487 penduduk termasuk 76 kanak-kanak!

Apabila Tuhan mencabut sifat kemanusiaan dan kasih sayang dalam jiwa seseorang insan, maka terjadilah seperti peristiwa Khojaly ini.

Selain itu, kesemua ahli dalam enam buah keluarga mati, seramai 26 kanak-kanak kehilangan ibu atau bapa dan 130 kanak-kanak menjadi yatim piatu. Sebanyak 56 orang yang lain pula dibunuh dengan cara begitu sadis seperti disembelih, dibakar hidup-hidup, dipenggal dan ada yang dicacatkan.

Setelah pembunuhan dan penyembelihan selesai dijalankan, akhirnya tentera fasis Armenia membuat pengumuman dengan alat pembesar suara untuk memberi kebenaran orang awam keluar meninggalkan bandar itu.

Sejurus kemudian, api dinyalakan dan hampir memusnahkan seluruh kota.Peristiwa yang berlaku di salah sebuah penempatan purba Azerbaijan itu musnah dan dibakar hanya dalam satu malam!

DIROGOL, DISEKSA

Valeh Sahib Huseynov merupakan antara penduduk Khojaly yang membuat pendedahan tentang pengalaman pahitnya di Khojaly.

“Pada malam 25 hingga 26 Februari 1992, selepas Khojaly dijajah Armenia, kami terpaksa melarikan diri bersama penduduk lain di bandar itu. Apabila kami sampai di sebuah kawasan antara Shelli dan Dahra, tentera Armenia mengepung kami dan melepaskan tembakan. Isteri saya meninggal dunia kerana kecederaan akibat ditembak.

“Seterusnya pada 26 Februari 1992, mereka membawa pula kami ke Askeran. Sewaktu dalam perjalanan, mereka menolak kami ke dalam Sungai Gargar yang sejuk membeku itu.

“Kemudian mereka mengurung kami di Jabatan Polis Askeran. Di situ mereka memisahkan wanita daripada lelaki dan mula memukul.

“Antara 15 hingga 20 tebusan dikurung dalam penjara. Mereka memukul kami dengan senjata api, kaki kerusi dan belantan.

“Tangisan dari penjara wanita juga kedengaran. Mereka turut dipukul, dirogol dan diseksa.

“Mereka mencabut paku dari ibu jari saya dan kemudian mematahkan jari saya. Saya tidak sedarkan diri beberapa kali semasa penyeksaan berlangsung.

“Akhirnya pada 2 Mac 1992, kami dibebaskan sebagai tukaran dengan tiga warga Armenia,” katanmya dipetik daripada sumber Azerbaijan.

Orang Azerbaijan dibunuh hanya kerana mereka merupakan warga Azerbaijan.

Setiap hujung Februari, rakyat Azerbaijan akan menjalankan upacara penghormatan dan peringatan kepada mangsa-mangsa Khojaly. Pembunuhan beramai-ramai yang berlaku dari 25 hingga 26 Februari 1992 disifatkan sebagai peristiwa pembunuhan beramai-ramai yang terburuk pada abad ke-20.

Ramai yang bertanya, mengapakah Armenia memilih Khojaly sebagai sasaran mereka? Selain lokasi yang strategik, mereka juga ingin memusnahkan Khojaly sebagai sebuah penempatan yang mencerminkan sejarah dan budaya warisan bandar tersebut.

Budaya itu dikenali sebagai Khojaly-Gadabay yang bermula sejak abad ke-16 sebelum masihi (SM). Monumen dan peralatan pengebumian dari akhir Zaman Gangsa dan awal Zaman Besi termasuklah kubur dan makam ditemukan.

Semasa pihak arkeologi menjalankan penggalian, mereka menemui hiasan yang diperbuat daripada batu, gangsa dan tulang serta barangan rumah daripada seramik.

Nama raja Assyrian, Adad-Nigari (807-788 SM) tertulis pada salah satu manik yang terdapat di Khojaly. Malangnya, penceroboh Armenia tanpa rasa bersalah memusnahkan semua monumen serta tanah perkuburan purba di Khojaly.

Hari ini dunia memperkatakan tentang Khojaly. Namun begitu, masih terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan dalam mewujudkan kesedaran masyarakat antarabangsa tentang jenayah kemanusiaan ini.

Sekalipun ia sudah berlalu, namun trauma dan ketakutan masa silam masih menghantui mereka yang terselamat atau pernah menyaksikan jenayah tersebut.

Rakyat Malaysia diajak untuk mendoakan kestabilan dan keamanan di Azerbaijan. Semoga kisah duka itu tidak lagi berulang. – UTUSAN

PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×