Ramai murid bakal tahun satu gagal kuasai 3M

Ramai murid bakal tahun satu gagal kuasai 3M

PANDEMIK Covid-19 yang berpanjangan meninggalkan kesan terhadap pembelajaran secara bersemuka kanak-kanak prasekolah yang bakal melangkah ke tahun satu bulan depan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masih ramai murid prasekolah yang bakal menjejakkan kaki ke tahun satu bulan depan belum menguasai kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira sekali gus mengundang kebimbangan wujud jurang keciciran yang tinggi dalam kalangan mereka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Azizah Zain berkata, penutupan institusi prasekolah ekoran Covid-19 dan batas pembelajaran sepanjang tahun lalu memberi kesan kepada emosi, sosial serta kognitif kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun.

Sehubungan itu, katanya, Ke­menterian Pendidikan perlu mengembalikan semula Program saringan Literasi dan Nu­merasi (LINUS) bagi mengatasi masalah tersebut, malah mengelak keciciran dalam ka­langan murid yang akan melang­kah ke tahun satu.

“Walaupun tiada data rasmi berhubung penguasaan 3M yang hanya boleh diketahui setelah sesi pembukaan sekolah nanti, pandemik Covid-19 me­nimbulkan keresahan ibu bapa sama ada anak-anak mampu membaca, menulis dan menulis dengan lebih baik setelah menghadapi kekangan belajar secara formal.

“Ini sudah menggusarkan pihak guru selepas sesi persekolahan dibuka pada Mac ini sekali gus mewujudkan jurang antara murid yang mampu menguasai dan belum me­nguasainya,” katanya di sini, semalam.

LINUS yang diperkenal Kementerian Pendidikan sejak 2009 dihentikan bermula 2019 setelah sekolah perlu me­laksanakan program sendiri mengikut kesesuaian bagi mengatasi masalah penguasaan kemahiran asas 3M dalam kalangan murid.

Azizah menegaskan, kegagalan ketiga-tiga kemahiran itu menjadi satu kebimbangan para guru sebaik sahaja kanak-kanak berusia enam tahun me­langkah masuk ke alam persekolahan tidak lama lagi.

Jelas beliau, meskipun terdapat institusi tadika dibuka secara berperingkat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan penuh pergerakan tahun lalu, batas pembelajaran bersemuka menyebabkan masih terdapat kanak-kanak gagal menguasai 3M.

Katanya, penutupan pusat pendidikan antara punca utama pencapaian kemahiran 3M berada di tahap yang membimbangkan apabila tiada soko­ngan dan bimbingan yang baik khususnya melibatkan dalam kalangan golongan B40.

“Namun kita tidak boleh meletakkan 100 peratus kepada guru untuk meningkatkan penguasaan 3M,sebaliknya ibu bapa perlu memainkan pe­ranan sama dalam soal ini secara pembelajaran tidak formal di rumah.

“Bagi tiada alat gajet, mungkin kaedah paling berkesan adalah mengajar menulis dan membaca buku, inilah pem­belajaran lebih tuntas untuk memperkukuhkan 3M kepada anak-anak,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan kesan pandemik Covid-19 dikhuatiri menyebabkan 70 peratus murid prasekolah di Lembah Klang sehingga Jun 2021 buta huruf kerana mereka gagal menguasai program 3M.

Berdasarkan tinjauan terhadap kira-kira 30 guru prasekolah dan tadika swasta sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur baru-baru ini, mereka mengakui sehingga bulan ini, kira-kira 70 peratus murid mereka belum menguasai kemahiran 3M.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Mei 2021 di Kuala Lumpur mengesahkan ramai murid prasekolah tidak dapat menguasai kemahiran 3M dengan baik melibatkan anak-anak daripada keluarga B40 dan diuruskan ibu tunggal.

“Pandemik Covid-19 selama dua tahun menyebabkan ramai kanak-kanak prasekolah terkesan dan bukan hanya di Malaysia malah kajian Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengesahkan ramai kanak-kanak dari seluruh dunia turut terjejas.

“Penutupan sekolah dan pematuhan SOP menyebabkan bimbingan secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan untuk membimbing anak-anak me­nguasai kemahiran membaca menulis dan mengira dengan berkesan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×