Konflik Rusia-Ukraine hipokrasi Barat?

Konflik Rusia-Ukraine hipokrasi Barat?

SEMUA pihak hakikatnya perlu akur dan tunduk kepada aturan undang-undang antarabangsa yang mana penyelesaian sengketa secara damai menjadi keutamaan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOPIK perang terus menjadi wacana hangat di dada-dada akhbar mahupun media sosial seiring memuncaknya konflik antara Rusia dan Ukraine yang meningkatkan intensiti ancaman perang sejak peristiwa perebutan wilayah Crimea pada 2014, sekali gus memasuki babak baharu ketegangan antara kedua-dua belah pihak.

Pihak Barat diterajui Amerika Syarikat (AS) yang mendukung Ukraine sebagai rakan sekutunya secara konsisten mendakwa Rusia telah menempatkan kira-kira 70 peratus aset tempur termasuk 100,000 anggota tentera di sempadan utara dan timur Ukraine sebagai persediaan melakukan pencerobohan besar-besaran meskipun Kremlin berulang kali menegaskan pihaknya tidak mempunyai rencana ke arah itu.

Sebaliknya Rusia menuduh AS yang sebenarnya menjadi dalang terhadap ketegangan yang berlaku dengan bertindak mencipta persepsi, seterusnya melakukan provokasi melalui pengerahan angkatan bersenjata ke wilayah timur Eropah seolah-olah cuba mendorong Kiev untuk berperang dengan Rusia.

Tidak kira apa jua dakwaan atau tuduhan dilontarkan, semua pihak hakikatnya perlu akur dan tunduk kepada aturan undang-undang antarabangsa yang mana penyelesaian sengketa secara pasifik atau damai perlu menjadi keutamaan dan diusahakan sebaik mungkin untuk menghindari bibit-bibit peperangan.

Hal ini seperti mana tertulis dalam Artikel 2(3) Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menegaskan, seluruh negara anggota perlu menyelesaikan persengketaan antarabangsa melalui jalan damai dan menggunakan cara-cara sedemikian rupa sehingga kedamaian dan keamanan antarabangsa serta keadilan tidak terancam.

Tidak terhenti di situ, prinsip penyelesaian sengketa secara damai ini juga diperkuat kembali dalam Resolusi Perhimpunan Agung PBB No. 2625 (XXV) bertarikh 24 Oktober 1970 di bawah tajuk Deklarasi Mengenai Prinsip-Prinsip Undang-Undang Hubungan Persahabatan Antarabangsa dan Kerjasama Antara Negara Mengikut Piagam PBB.

Antara isi penting resolusi tersebut menyatakan negara-negara hendaklah dengan sewajarnya mencari penyelesaian awal dan adil bagi persengketaan antarabangsa mereka melalui rundingan, siasatan dan pengantaraan, konsiliasi dan timbang tara, penyelesaian kehakiman, menggunakan agensi atau pengaturan serantau atau apa jua cara damai menurut pilihan mereka.

Selain prinsip penyelesaian sengketa secara damai, semua pihak yang terlibat dalam persengketaan antarabangsa juga perlu mematuhi prinsip tidak menggunakan kekerasan yang melarang mana-mana negara untuk melakukan ancaman atau penggunaan kekerasan ke atas kedaulatan negara lain. Prinsip ini termaktub dalam Artikel 2(4) Piagam PBB yang menyatakan seluruh negara anggota perlu menahan diri dalam hubungan antarabangsa mereka daripada melakukan ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap kedaulatan wilayah atau politik negara lain atau dalam setiap tindakan yang tidak sesuai dengan tujuan Piagam PBB.

HIPOKRASI

Berdasarkan tafsiran Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), artikel tersebut menekankan tanggungjawab negara-negara anggota untuk menahan diri daripada melakukan ancaman dan penggunaan kekerasan termasuklah pencerobohan dalam pelbagai bentuk terhadap negara lain baik secara langsung (direct force) mahupun tidak langsung (indirect force). Apatah lagi, pencerobohan diklasifikasikan sebagai salah satu jenayah antarabangsa yang utama di bawah Undang-Undang Jenayah Antarabangsa disebabkan kesan buruk dan dahsyat yang boleh mengancam nyawa umat manusia dan mengakibatkan tergugatnya kestabilan dan keamanan antarabangsa.

Oleh itu, seandainya benar dakwaan Barat bahawa Rusia sedang merencanakan pencerobohan ke atas wilayah Ukraine melalui angkatan bersenjatanya, maka ia jelas suatu bentuk ancaman kekerasan yang berpotensi melanggar prinsip undang-undang antarabangsa. Namun di sebalik dakwaan tersebut, ia mencerminkan sisi hipokrasi Barat itu sendiri terutama AS yang sering kali menjuarai aksi pencerobohan ke atas wilayah lain.

Mana mungkin masyarakat antarabangsa lupa pencerobohan yang pernah dilakukan oleh AS ke atas wilayah Afghanistan dan Iraq sewaktu kempen retoriknya dalam menentang keganasan. Tidak sekadar itu, sehingga kini Barat diterajui AS turut menjadi pendukung kuat terhadap jenayah pencerobohan bahkan penjajahan yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap wilayah Palestin. Bahkan usul demi usul bagi mengecam pencerobohan dan penjajahan tersebut juga sentiasa ‘diveto’ oleh mereka.

Ia sedikit sebanyak menggambarkan unsur-unsur selektif dalam sistem antarabangsa jelas wujud dan sering kali menjadi penghambat terhadap penyelesaian sesuatu sengketa atau konflik antarabangsa. Hal inilah yang sering kali dibimbangi oleh negara-negara membangun, yang secara amnya menentang dwistandard.

Sebahagian besar negara-negara ini berpendapat, negara-negara yang berkuasa dapat menggunakan kelebihan politik untuk memanipulasi sistem antarabangsa dengan menjadikannya tunduk kepada aturan dan kehendak mereka. Kebimbangan ini turut dikongsikan oleh bekas Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia, Louise Arbour yang menyatakan tidak akan ada harapan untuk mempromosikan aturan undang-undang di seluruh negara jika negara-negara kuasa besar menjadikannya tunduk pada manfaat politiknya semata-mata.

Justeru, sengketa antarabangsa perlu ditangani dengan adil berdasarkan aturan undang-undang sedia ada. Tidak cukup itu, ia juga perlu dilihat adil melalui penguatkuasaan tanpa pilih bulu khususnya oleh kuasa-kuasa besar termasuklah dalam menangani pencerobohan yang berlaku. – UTUSAN

PENULIS ialah Pengasas Pusat Pengajian Abu Faqih Centre dan pengkaji undang-undang antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×