PONTIAN: Jentera pilihan raya UMNO dan Barisan Nasional (BN) di 26 kawasan Parlimen seluruh Johor telah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Mac ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau telah selesai bertemu semua 26 bahagian UMNO di Johor dengan Bahagian Sembrong dan Johor Bahru menjadi bahagian terakhir, baru-baru ini.
Katanya, satu rumusan yang diperoleh daripada lawatan tersebut mendapati semua persiapan diatur dengan baik termasuk jentera pilihan raya di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Bagi jentera di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) kita menyerahkan peranan kepada setiap UMNO bahagian untuk melakukan pemantauan mengenai tugas-tugas melibatkan mereka.
“Kita harap semua jentera parti telah sampai ke peringkat ‘gear’ lima memandangkan kempen sepenuhnya hanya tinggal seminggu sahaja selepas penamaan calon pada Sabtu ini,” katanya, di sini semalam.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, UMNO pusat turut berpuas hati dengan persediaan semua pihak bagi memastikan BN terus kekal memimpin kerajaan negeri Johor selepas 12 Mac ini.
Ditanya mengenai peluang BN merampas kerusi DUN yang kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), beliau yakin BN dapat menawan kembali kesemua kerusi itu pada PRN ini.
“Terutama bagi kawasan DUN di mana BN kalah dengan majoriti bawah 5,000 dan 1,000 undi yang perlu dibuat kajian yang menyeluruh oleh UMNO dan BN di bahagian yang terlibat dalam memastikan misi merampas semula kawasan itu,” jelasnya.
Katanya, punca kekalahan pada masa itu diketahui kerana kempen menabur fitnah oleh Pakatan Harapan (PH) sehingga pengundi turut terpedaya dengan janji-janji yang dibuat.
Beliau berharap, setiap UMNO bahagian memiliki jentera khas bagi mengenal pasti pengundi baharu yang berjumlah lebih 700,000 dengan mendekati golongan tersebut melalui pelbagai kaedah termasuk media sosial.
“Mereka ini pertama kali mengundi dan perlu dibantu termasuk oleh ibu bapa bagi menjelaskan tujuan PRN Johor diadakan dan parti yang perlu disokong,” katanya.
Sementara itu, UMNO menyambut baik prosedur operasi standard (SOP) PRN Johor yang disifatkan lebih longgar berbanding di Melaka dan Sarawak, walaupun ketika ini Covid-19 masih melanda namun disebabkan ramai rakyat telah menerima vaksin menjadikan SOP kali ini berbeza daripada sebelumnya.
Katanya, kebenaran mengadakan ceramah walaupun hanya untuk 100 orang dan tidak melebihi pukul 10 malam merupakan SOP yang melegakan parti-parti bertanding. – UTUSAN











