Kekangan bersemuka sepanjang Covid-19 mewujudkan jurang perhubungan dan komunikasi yang kurang berkesan dalam kalangan organisasi.
Dalam usaha merapatkan jurang itu, program pembinaan pasukan dilihat menjadi medium terbaik menghapuskan kekangan terbentuk akibat pandemik.
Baru-baru ini, Adventure Leadership and Outdoor Recreation Academy (AURORA) di bawah Pusat Kokurikulum, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Program Pembinaan Pasukan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Program memulihkan semangat bekerja secara berpasukan itu dihadiri kira-kira 50 kakitangan yang teruja untuk mengikuti program direncanakan.
Aktiviti berkenaan turut memfokuskan kepada pembinaan hubungan dalam kalangan kakitangan BPSM.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, pemilihan AURORA, UPSI sebagai perunding kepada KPT adalah suatu penghormatan dan kepercayaan pihak kementerian kepada UPSI.
“Selaku universiti menerajui bidang pendidikan, UPSI sentiasa peka dengan praktis terkini dan akan memberikan perkhidmatan terbaik setanding antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Kokurikulum, Dr. Mazuki Mohd Yasim, berkata, program yang menerapkan elemen keseronokan dan risiko seperti aktiviti whitewater rafting di Sungai Klah, Sungkai dan tali tinggi di UPSI Adventure Park menjadikan peserta lebih menghargai nilai kerjasama dan peranan dimainkan setiap ahlinya.
“AURORA menawarkan pelbagai aktiviti lasak dan mencabar secara komersial kepada kesemua lapisan masyarakat,” katanya.
Bagi Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KPT, Mansor Ibrahim@Abd Hamid, program kendalian AURORA menyeronokkan dan semua peserta bersemangat melaksanakan aktiviti dianjurkan.
Mana-mana pihak yang berhasrat menyertai kursus membina pasukan anjuran AURORA boleh menghubungi talian 015-48797700. – UTUSAN









