Kave komited bantu masyarakat bangkit semula

Kave komited bantu masyarakat bangkit semula

(Gambar atas, tiga dari kiri) DR. Azuraida dan Deja Moss bergambar bersama anak tahfiz sempena majlis iftar berbuka puasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Wabak Covid-19 memberikan hikmah tersendiri. Dalam usaha menjana pendapatan, ramai mencuba meneroka bidang perniagaan dan perkhidmatan secara dalam talian.

Memperlihatkan potensi kewangan ditawarkan dunia maya, badan bukan kerajaan (NGO), Kembara Amal Ventures (Kave) tampil mengadakan program latihan untuk memperkasakan masyarakat yang terkesan akibat wabak Covid-19.

Pengasas Kave, Dr. Azuraida Shahadan berkata, Kave melaksanakan tiga program kemampanan jana pendapatan berbentuk kursus iaitu kursus kulinari, solekan dan urutan lepas bersalin secara dalam talian.

“Program percuma ini memberi fokus kepada matlamat membantu golongan asnaf, ibu tunggal dan masyarakat yang terkesan akibat pandemik Covid-19. Menariknya, peserta turut diberi elaun kursus sebanyak RM 250 hingga RM500 bergantung kepada jenis kursus,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Azuraida berkata, menambah manfaat, peserta turut didedahkan dengan ilmu pengurusan perniagaan dan kewangan bagi memantapkan lagi kemahiran mereka dalam menerokai dunia perniagaan.

“Pada akhir kursus, peserta diharap dapat menjana pendapatan menggunakan ilmu dan kemahiran itu bagi tujuan membantu diri serta keluarga mereka dan meningkatkan taraf sosioekonomi masing-masing,” katanya.

Masalah utama setiap NGO ialah sumber dana. Azuraida mengakui hal berkenaan. Pun begitu, dalam memastikan kelangsungan Kave, pihaknya berusaha memperolehi dana secara konsisten melalui sumbangan syarikatnya sendiri iaitu DrAzu Academy melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

Kave memperolehi dana daripada sumbangan orang awam, organisasi swasta atau agensi kerajaan.

PROGRAM KEBAJIKAN DALAM & LUAR NEGARA

Kata Azuraida persatuan tidak bersendirian menjayakan program. Malah turut aktif menjalin kerjasama dengan pelbagai NGO tempatan dan luar negara dalam menganjurkan program kemasyarakatan tanpa mengira lapisan masyarakat antaranya Mary’s Soup Kitchen, Orangewood Children’s Home, Disaster Relief Team.

“Kerjasama secara global ini memberi pengalaman berharga buat sukarelawan kerana kami turut memberi khidmat dan sumbangan tanpa mengira bangsa dan agama. Bahkan suasana di luar negara berbeza.

Contohnya suasana di Syria dengan ancaman keselamatan memerlukan keberanian dan hati yang betul-betul ikhlas barulah segalanya berjalan dengan lancar dan tenang,” ujarnya.

Dalam perkembangan terkini, Kave turut menyiapkan projek kemampanan bersama Orang Asli suku Temuan di Ulu Yam melalui projek Temuan Trail Eko Resort.

“Projek ini memfokuskan dan membangunkan kawasan hutan di pinggir air terjun dengan mendirikan tapak khemah, chalet, jambatan dan laluan untuk kegunaan orang awam dan akan dijaga oleh Orang Asli suku Temuan.

“Melalui projek ini, keluarga Orang Asli suku kaum Temuan tersebut mampu untuk menjana pendapatan tambahan dengan menyewakan kawasan tersebut kepada pengunjung. Projek ini adalah hasil kolaborasi daripada beberapa pihak seperti Gas Malaysia, Helping Shoulder, XNR Technologies, Asean Chambers, Saudalgar Marketing dan DrAzu Academy,” ujarnya.

BUAT BUKU

Wanita berilmu keluarga bahagia. Dalam usaha memberikan ilmu kepada ibu hamil, sebanyak 500 naskah buku Panduan Kehamilan Alhamdulilah Hamil diedarkan ke Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Tunku Jaafar untuk diserahkan kepada wanita mengandung.

Buku tulisan Azuraida bersama Pakar Perubatan Dr. Anis Yasmin dan Dr. Fatimah Zahra itu bertujuan memberi panduan kepada wanita hamil termasuk pemakanan semasa hamil, persoalan semasa hamil, fasa kehamilan, saat manis di bilik bersalin, berpantang, catatan dan peringatan serta diari dan coretan kehamilan.

“Pembaca boleh mendapatkan maklumat secara menyeluruh bermula dari awal kehamilan sehingga kelahiran, selain ada senarai nama anak lelaki dan perempuan.

“Saya memahami perasaan ibu yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan situasi, terutama ketika dalam proses kehamilan dan berpantang,” katanya.

Tambahnya, setiap lima peratus daripada hasil jualan itu akan diagihkan kepada Pertubuhan Kembara Amal Ventures (Kave) untuk tujuan amal.

“Ramai wanita hamil sering dibelenggu dengan pelbagai persoalan kesihatan sepanjang kehamilan, namun kerap menerima maklumat yang tidak tepat.

“Bagaimanapun, ia bukan bertujuan menggantikan nasihat golongan profesional, sebaliknya sebagai landasan perkongsian ilmu dan pengetahuan tambahan untuk ibu malahan juga bapa,” katanya.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hampir setiap tahun kadar peratusan kelahiran bayi pramatang meningkat sebanyak lima hingga lapan peratus iaitu bersamaan dengan 15 juta di seluruh dunia. Perkara ini berlaku disebabkan perubahan gaya hidup masyarakat kini terutamanya kesihatan.

Sekiranya ibu mengandung menyedari petanda awal berlaku komplikasi ini, mereka boleh mendapatkan rawatan antenal sekaligus dapat meningkatkan peluang hidup bagi bayi pramatang. Oleh itu, Dr. Azuraida menasihatkan ibu hamil mendapatkan panduan kehamilan bagi mengelakkan komplikasi kehamilan termasuk kelahiran pramatang.

CABARAN MEMATANGKAN

Mencari sukarelawan yang betul-betul berminat dengan kerja amal suatu cabaran.

“Semua maklum bahawa NGO merupakan badan bukan kerajaan dan kita tidak dibayar gaji. Semuanya adalah secara sukarela. Jadi, untuk mendapatkan sukarelawan yang tidak memandang kepada upah atau gaji, adalah mencabar. Begitupun saya yakin ramai yang berhati mulia. bagi yang yang ingin menyertai, boleh hubungi kami. Syaratnya tidak sukar, asalkan ada minat,” katanya.

Satu kembara sebuah amal segunung harapan

Kave ditubuhkan pada 2018, diasaskan bersama penyanyi bersuara lantang, Sharifah Hadijah Wan Moss atau Deja Moss.

Mengulas mengenai pembabitan penyanyi itu dalam Kave, kata Azuraida ia bermula sejak 2011 lagi.

“Sebenarnya saya sudah bertemu Deja Moss ketika dia ke California bersama pasukan Malaysia untuk program Road To Hollywood pada 2011 dan sejak itu kami mula rapat kerana banyak persamaan.

“Apabila pulang ke Malaysia, kami bincang bagaimana untuk kami dapat membantu orang lain kerana sering bersama-sama terbabit membantu sebuah NGO di Sungai Penchala.

“Kemudian selepas itu timbul idea tubuhkan NGO sendiri yang dinamakan sebagai Kave yang memberi fokus membantu anak yatim, gelandangan, ibu tunggal, fakir dan Orang Asli,” katanya.

Lebih mustahak, katanya persatuan itu ditubuhkan bertujuan memberi impak sosial kepada masyarakat sekeliling di dalam dan luar negara tanpa mengira latar diri.

“Moto Kave, satu kembara sebuah amal segunung harapan. Kami mahu berusaha membantu meningkat kesejahteraan hidup masyarakat.

“Sejak 2018, hampir seratus program yang memberi manfaat kepada ribuan orang sudah dijalankan bukan sahaja di negara ini, malah kami pernah ke Filipina, Vietnam, Indonesia dan Thailand,” katanya.

Membabitkan diri dalam kerja amal selepas terpilih menjadi sukarelawan Islamic Relief Malaysia membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di Jogjakarta, Indonesia pada 2006.

“Saya antara lima yang terpilih untuk sertai misi kemanusian membantu mangsa yang terjejas di sana. Sejak itu saya jatuh cinta dengan bidang sukarelawan selain memupuk diri menjadi seorang yang sentiasa bersyukur, sabar, penyayang dan sentiasa mahu membantu orang lain.

“Selain itu, saya turut mengajar secara percuma di Rumah Anak Yatim Teratak Che Dah milik keluarga dan membantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain. Ketika belajar di Amerika Syarikat juga saya aktif dengan membantu gelandangan, mengajar anak imigran Mexico secara percuma ” katanya.

Ibu kepada dua orang cahayamata ini mengakui banyak perubahan yang dialami sepanjang terbabit dengan aktiviti kebajikan. Antaranya kehidupannya menjadi semakin bahagia dan baik sungguhpun tidak dikurniakan kemewahan.

“Kerja kesukarelawanan ini membuka minda untuk mensyukuri nikmat Tuhan dan sama-sama rasa nikmati hidup sebenar. Semakin ramai kita tolong orang, kita akan rasa gembira dan bahagia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×