Covid-19: Ibu bapa patut risau kes meningkat

Covid-19: Ibu bapa patut risau kes meningkat

Sebahagian kanak-kanak menunggu giliran untuk menerima vaksin Covid-19 menerusi PICKids di Hospital UCSI, Port Dickson, Negeri Sembilan, kelmarin. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ibu bapa sepatutnya lebih takut kepada risiko anak-anak mereka dijangkiti Covid-19 berbanding kesan sam­pingan selepas diberi suntikan vaksin.

Secara logiknya risiko dijangkiti Covid-19 adalah jauh lebih teruk sehingga boleh menyebabkan masalah kesihatan yang berpanjangan selain kematian jika langkah perlindungan diabaikan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (​UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, mereka sepatutnya tidak mengambil risiko untuk anak-anak dijangkiti Covid-19.

Katanya, jalan terbaik adalah anak-anak diberikan suntikan vaksin seperti mana yang telah disarankan oleh kerajaan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids).

“Saya tidak faham kenapa masih ramai ibu bapa yang menolak untuk anak-anak diberikan suntikan vaksin, ini adalah untuk kebaikan mereka ketika Covid-19 kembali menular sekarang.

“Kena ingat, kesan dijangkiti Covid-19 itu jauh lebih teruk berbanding kesan sampingan vaksin. Jadi kenapa ambil risiko untuk anak-anak jika kita ada pilihan terbaik untuk mencegah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hi­sham Abdullah yang mendedahkan seba­nyak 50,826 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dijangkiti Covid-19 sekali gus menyebabkan penggunaan katil harian pesakit bagi golongan itu, semakin meningkat seiring de­ngan kenaikan kes dalam negara.

Dr. Noor Hisham berkata, jumlah peningkatan jangkitan dalam kalangan kanak-kanak itu dapat dilihat bermula awal Januari sehingga semalam de­ngan majoritinya berada dalam kategori dua.

Katanya, peningkatan dilihat lebih ketara dalam bulan ini terutama bagi kategori dua hingga kategori lima.

“Bagi kategori satu, 15,817 kes (31.12 peratus); kategori dua, 34,857 kes (68.58 peratus); kategori tiga, 120 kes (0.24 peratus); kategori empat, 28 kes (0.006 peratus) dan ka­tegori lima, hanya empat kes (0.001 peratus).

“Peningkatan jangkitan mung­kin disebabkan penularan varian Omicron serta pe­ningkatan pergerakan kanak-kanak dalam komuniti susulan pembukaan semula sesi persekolahan, pusat jagaan kanak-kanak dan bayi, lalu menyebabkan risiko pendedahan kanak-kanak kepada jangkitan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dr. Noor Hisham berkata, meskipun gejala jangkitan dalam kalangan kanak-kanak kebiasaannya kurang serius berbanding dewasa, namun, terdapat juga kes-kes yang memerlukan rawatan di hospital dan sebilangannya memerlukan rawatan intensif di unit rawatan rapi (ICU).

Katanya, antara gejala yang sering dialami kanak-kanak yang dijangkiti adalah batuk dan selesema berterusan melebihi seminggu, bernafas laju, kurang aktif, kurang selera makan, demam yang berterusan, dan muntah atau cirit birit.

Mengulas lanjut, Dr. Sharifa Ezat berkata, rakyat negara ini juga perlu yakin dengan usaha yang dilakukan kerajaan dalam membendung Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak ketika ini.

“Jika tidak yakin dengan inisia­tif kerajaan, cuba lihat di negara-negara luar seperti Singapura dan United Kingdom yang telah berjaya melakukan inisiatif yang sama dalam soal vaksin terhadap kanak-kanak,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan juga disarankan untuk tidak lagi berlembut dan mewajibkan vaksin kepada semua rakyat negara ini memandangkan ada segelintir kumpulan yang suka mengambil kesempatan.

“Nampaknya kerajaan sudah kena wajibkan (vaksin), apabila berlembut ada yang ambil ke­sempatan. Namun, saya percaya kerajaan ada langkah-langkah­nya yang tersendiri dalam mengendalikan perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Dr. Sharifa Ezat juga tidak menolak kemungkinan proses pengajaran dan pembelajaran di peringkat rendah akan kembali lumpuh sekiranya masih ramai kanak-kanak tidak diberikan vaksin.

“Apabila ramai yang tidak divaksin, saya rasa ibu bapa juga takut untuk hantar anak-anak mereka ke sekolah lebih-lebih lagi ketika ini ramai yang dijang­kiti covid-19 tidak menunjukkan simptom,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×