Membangunkan demokrasi kita

Membangunkan demokrasi kita

NEGARA turut berpotensi untuk mendapat hasil tambahan di atas kenaikan harga komoditi seperti petroleum dan minyak sawi, sekali gus membantu pertumbuhan ekonomi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA saya mempersem­bahkan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai wakil 55 rakyat Malaysia yang mencadangkan penubuhan Better Malaysia Assembly (BMA) untuk pembaharuan negara, tercetus di arus perdana dan media sosial pertukaran pendapat yang menyokong dan menentang idea itu. Itulah reaksi yang saya harapkan.

Namun, saya tidak menjangka rintihan mendakwa BMA merupakan suatu amalan elitis yang merosotkan proses demokrasi sedia ada. Golongan ini mungkin terlalu tertumpu pada beberapa nama dalam senarai 55 penandatangan surat BMA, bukannya kandungan surat tersebut.

Jika diteliti, para penandatangan bukanlah pakatan elit tetapi terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat seperti bekas ahli politik, penjawat awam, tokoh perniagaan, tokoh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), aktivis belia dan ahli kesatuan sekerja. Maka golongan yang membantah cadangan BMA kerana tidak menyenangi sebilangan nama dalam senarai telah tersalah faham. Semangat berkompromi dan bermuafakat yang mendasari cadangan BMA bermakna setiap orang akan mengenal pasti nama dalam senarai penandatangan yang bersependapat dan tidak.

Gambaran BMA sebagai elitis juga jauh tersasar. BMA merupakan satu persidangan yang membolehkan rakyat jelata, pakar bidang khusus, wakil masyarakat dan lain-lain untuk berkongsi pandangan dan membincangkan isu-isu sistemik utama, kemudian mengesyorkan pembaharuan untuk dipertimbangkan oleh Parlimen.

Walaupun menjadi kebiasaan untuk kerajaan menubuhkan majlis penasihat dan jawatankuasa, penubuhan BMA pula harus menjadi ikhtiar kolaboratif melibatkan badan-badan eksekutif, legislatif, masyarakat sivil dan istana supaya bersifat bebas dan tidak terikat kepada mana-mana institusi atau cabang kerajaan.

Turut menghairankan ialah dakwaan BMA seolah-olah ketinggalan zaman kerana merujuk kepada Majlis Perundingan Negara yang ditubuhkan pada 1970. Kita tidak seharusnya segan menggunakan semula idea yang baik dari masa lalu. Tambahan pula BMA sebenarnya menyeru Malaysia supaya memperkenalkan ‘demokrasi berperundingan’, iaitu salah satu topik terkini dalam kajian dan aplikasi konsep demokrasi.

Dengan adanya demokrasi berperundingan, tidak bermaksud wakil rakyat menjadi tunggul, sebaliknya konsep demokrasi deliberatif meningkatkan keberkesanan mereka dengan menyediakan pelbagai perspektif dan pandangan. Reka bentuk sidang rakyat bersifat inklusif – wakil-wakil dipilih melalui proses yang akan membawa kepada kumpulan peserta pelbagai latar dan lebih representatif. Ini ternyata berbeza dengan demokrasi perwakilan di mana kita hanya memilih individu yang dicalonkan oleh parti politik dan individu tersebut sering terpaksa akur dengan arahan whip parti.

SEMAKIN MUNDUR

Gabungan perspektif dan pandangan rakyat bersama input daripada pakar teknikal dan profesional membekalkan kepelbagaian kognitif yang membantu usaha mencari penyelesaian dan kompromi. Pembentangan syor-syor persidangan rakyat kepada Parlimen bererti demokrasi deliberatif sama sekali tidak meruntuhkan demokrasi perwakilan tetapi mengukuhkannya.

Sebahagian besar para pengulas bersetuju bahawa Malaysia jika dibandingkan dengan negara lain merupakan sebuah negara yang semakin mundur dan sesuatu perlu dilakukan. Mereka menyedari hakikat daya hidup dan dinamisme negara kita terjejas. Kita semua mahu negara mampu bangkit daripada wabak ini dan mencakupi peluang baharu yang bakal muncul. Namun, harapan tersebut sukar dibayangkan memandangkan wacana awam dipenuhi konflik dan pendekatan masa dahulu terhadap isu masa kini.

Seelok-eloknya kita berikhtiar meluaskan ufuk minda dan memperkasakan semua rakyat untuk berdikari dan berkeyakinan di pentas dunia. Sebaliknya apa yang kita lihat menerusi institusi kerajaan adalah pemesatan dasar tindakan afirmatif masa dahulu yang memanjakan golongan penerima dan mengecewakan golongan lain. Kita menyaksikan akibat dasar-dasar tersebut setelah berleluasa selama beberapa dekad dan generasi – amalan rasuah tersebar, budaya biasa-biasa sahaja, dan brain drain semakin parah apabila terlalu ramai rakyat pelbagai latar giat meninggalkan hujan batu di negara sendiri untuk mencari hujan emas di negara orang.

Hakikat ini tidak bermaksud Malaysia tidak lagi perlu tindakan afirmatif, sebaliknya perlu membincangkan dasar tersebut. Kita perlu bertanya sama ada Dasar Ekonomi Baru (DEB) masih perlu? Sekiranya perlu, siapa yang memerlukannya, cara terbaik untuk menyediakannya dan bagaimana untuk mengurangkan kesan sampingannya? Pada masa sama, kita perlu menilai impak apa-apa perubahan dalam dasar tindakan afirmatif terhadap pihak-pihak berkepentingan.

Beginilah pendekatan BMA terhadap dasar tindakan afirmatif. BMA akan mempertimbangkan keadilan secara keseluruhan. Pakej pembaharuan yang disyorkan termasuk berkaitan pendidikan, sekolah vernakular, pilihan raya, peranan dan kebebasan institusi, integrasi nasional serta pembendungan rasuah. Kita tidak boleh mengabaikan hakikat masyarakat kekal terpisah mengikut garis etnik, maka kesan pembaharuan terhadap kaum-kaum berbeza wajar dinilai dan disokong oleh justifikasi kukuh sebagai ikhtiar membina negara dan bangsa Malaysia yang lebih baik pada masa hadapan.

Saya tidak menjangka BMA atau mana-mana sidang rakyat merupakan penawar serba mujarab untuk semua masalah negara. Apa yang dicadangkan ialah pengamalan demokrasi berperundingan dan pewujudan ruang selamat untuk rakyat mengadakan perbualan yang jujur dan bermakna antara satu sama lain bab perihal kebangsaan.

Dan mencadangkan penyelesaian lebih baik untuk isu-isu paling diperselisihkan, kemudiannya dikemukakan kepada wakil rakyat supaya dipertimbangkan, dibahaskan dan dilaksanakan bagi memperbaikkan bangsa Malaysia.

Cadangan BMA untuk membantu membetulkan arah negara kita. BMA bukannya terjamin sebagai cara terbaik untuk mara ke hadapan tetapi kami perlu cara baharu.

Cadangan BMA disokong oleh 55 orang rakyat Malaysia terkenal. Berdasarkan reaksi awal orang ramai, ternyata banyak lagi rakyat bersetuju dengan kami. Kepada mereka yang tidak, saya berminat untuk faham sama ada anda berpuas hati dengan arah semasa negara kita atau mempunyai idea lebih baik untuk diusahakan? Itulah wacana konstruktif yang perlu diadakan pada peringkat ini. – UTUSAN

TAN Sri Nazir Tun Razak ialah Pengerusi Ikhlas Capital.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×