Musnahnya impian DeWitt, Lila

Musnahnya impian DeWitt, Lila

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 5 Februari lalu, genap 100 tahun majalah ulung Reader’s Digest berada di pasaran. Edisi pertama sebanyak 1,000 naskhah setebal 64 halaman menemui pembaca secara langganan pada 5 Februari 1922. Perjalanan satu abad itu sebenarnya penuh kisah suka dan duka.

Tetapi tidak ada siapa menyangka majalah yang bermula di sebuah bilik bawah tanah di Greenwich Village, New York itu kini mencatatkan 40 juta pembaca pada setiap keluaran di 70 negara dengan 49 edisi dalam 21 bahasa. Bagaimanapun, di sebalik kisah-kisah manis, tidak kurang juga tragedi yang meruntuhkan impian pengasasnya, DeWitt dan isterinya, Lila Wallace.

Selepas lebih empat dekad kematian pengasas majalah itu, Reader’s Digest menjadi rebutan pemegang saham yang tamak dan rakus di Wall Street. Impian DeWitt dan Lila telah lama musnah. Hari ini Reader’s Digest adalah monumen tragedi kerakusan dan ketamakan seperti yang diungkapkan oleh Peter Canning dalam bukunya, American Dream: The Wallace and Reader’s Digest: An Insider’s Story.

Canning pernah menjadi Pengarang Urusan Reader’s Digest selama 25 tahun dan akhirnya terpaksa meninggalkan majalah kesayangannya itu pada 1988 selepas pemegang saham yang tamak memusnahkan impian DeWitt dan Lila. Buku ini mendedahkan zaman American Dream yang tamak sekali gus memusnahkan impian asal sebuah majalah unggul.

Majalah kecil ini lahir kerana impian mahu memartabatkan ilmu dan maklumat.Tetapi kerakusan dan ketamakan manusia yang mengukur kejayaan dengan wang, maka Reader’s Digest bukan lagi membawa impian DeWitt dan Lila, pasangan kekasih yang kemudian menjadi suami isteri.

Kini yang boleh ditatap daripada peninggalan DeWitt dan Lila hanyalah kuntum-kuntum ros yang menghiasi pekarangan Pleasantville di New York. Hanya itu sahaja kesan cinta agung yang ada. Majalah yang mereka lahirkan menjadi begitu materialistik, nasibnya ditentukan oleh pasaran saham, bukan isi kandungan untuk kepentingan pembaca.

Seperti cinta yang selalu diamanahkan kepada ros untuk dizahirkan, Pleasantville juga adalah sebuah monumen impian yang hancur selepas merentas beberapa garis perubahan politik dan dekad tamak para pemegang saham di Wall Street. Kuasa dan politik tidak pedulikan tentang impian pengasasnya ketika zaman awal.

Suatu waktu dahulu di Pleasantville ini adalah simbol sebuah keluarga besar. Mereka adalah majikan dan pekerja yang memberikan komitmen ketika sebuah majalah baharu dan kerdil tiba-tiba mencetus gelombang besar dalam dunia penerbitan. Ini satu magis yang tidak pernah terfikirkan oleh kedua-dua mereka.

Para pekerja dibayar dengan ganjaran lumayan. Bukan kerana mahu mengikat, tetapi pasangan DeWitt dan Lila percaya tanpa pekerja yang komited selain minat luar biasa terhadap ilmu, Reader’s Digest tidak mungkin menjadi kenyataan. Reader’s Digest adalah kesatuan antara majikan dan pekerja.

Hari ini selepas ulang tahun ke-100, di sebalik kejayaan yang memberikan keuntungan luar biasa kepada pemegang saham, Reader’s Digest sebenarnya sebuah tragedi apabila terpaksa tunduk kepada penyangak di Wall Street pada zaman angkuh dan tamak.

Membaca sejarah Reader’s Digest sebenarnya lebih menginsafkan dan memberi pengajaran. Dengan bermodalkan AS$6,300 iaitu AS$5,000 wang yang dikumpul dan selebihnya berupa pinjaman, DeWitt dan Lila menubuhkan Reader’s Digest Association.

BERNAFAS

DeWitt memegang 52 peratus saham dan 48 peratus lagi oleh Lila. Mereka cuba membuktikan impian dan kesungguhan sebenarnya lebih bermakna daripada wang.

Sebenarnya tidak pernah dibayangkan oleh mana-mana penerbit sezaman dengannya bahawa majalah ini boleh bernafas hanya bergantung pada langganan.

Cara langganan bukanlah suatu yang praktikal untuk memastikan edaran majalah boleh mencatatkan satu jumlah yang besar. Tetapi DeWitt dan Lila mencuba walaupun tidak ada pengalaman mengenainya. Pasangan ini menyakinkan saudara mara untuk melanggan AS$3 setahun hingga mampu mengumpul AS$5,000.

Perkahwinan DeWitt dengan Lila juga sebenarnya gabungan impian untuk menerbitkan sebuah majalah berkonsep human interest yang ringan, tetapi bermaklumat.

Mereka bersetuju untuk tidak mempunyai anak. Ini kerana ‘anak’ mereka, Reader’s Digest perlu dibela dan ditatang dalam kemiskinan.

Apakah rahsia kejayaan luar biasa Reader’s Digest? Pasangan ini tidak ada rahsia, cuma mereka mempunyai keyakinan dan percaya pada kejujuran. Mereka tidak pernah bermimpi untuk menjadi kaya daripada majalah yang unik ini. Tetapi mempunyai impian menyatukan manusia dengan membaca isi kandungan Reader’s Digest.

Malah pada awal kelahirannya, Reader’s Digest tidak malu untuk mengambil rencana-rencana yang terbaik daripada majalah seperti Time, Newsweek atau Fortune. Semua ini dilakukan supaya pembaca mendapat rencana dan maklumat terbaik.

Pada masa sama, kejayaan Reader’s Digest bukan kerana awal terbitnya. Ia lebih awal daripada Time (1923), Saturday Review of Literature (1924) atau New Yorker (1926).

Kejayaan terletak kepada pendekatan mudah, ringkas dan bermaklumat. Selain itu majalah ini mempopularkan pendekatan mudah kepada semua peringkat pembaca. Bahasa Inggerisnya mudah difahami.

Kematian DeWitt pada 1981 ketika berusia 91 tahun dan empat tahun kemudian kematian Lila memberi ruang kepada kapitalis dan politikus menggunakan pengaruh Reader’s Digest. Majalah ini bukan sahaja berpengaruh tetapi menjadi lubuk emas.

Reader’s Digest disenaraikan di New York Stock Exchange pada 1992. Pada 1990, Reader’s Digest mencatatkan keuntungan tahunan sebanyak AS$2 bilion dan mempunyai aset AS$6 bilion. Kejayaan dan keuntungan yang tidak pernah dibayangkan oleh DeWitt dan Lila ini sebenarnya mengundang musibah.

“Jentolak akan menyambung kerja selepas ini,” demikian tulis Canning dengan sinis dan kecewa dalam bukunya. Sindiran ini ditujukan kepada pemegang saham yang menggerakkan Reader’s Digest, bercanggah dengan cara DeWitt dan Lila.

Buku ini secara penuh tanggungjawab mendedahkan pemegang saham yang memusnahkan impian pengasas Reader’s Digest. Mereka tidak lagi memikirkan sesuatu yang terbaik diberikan kepada pembaca tetapi yang menguntungkan pemegang saham.

Ketika cinta bersemi tercetus idea mewujudkan sebuah majalah yang mudah tetapi bermaklumat. Waktu itu DeWitt dan Lila tidak pernah terbayang jerung-jerung di Wall Street yang sentiasa lapar dan materialistik akan merampas satu-satunya ‘anak kelahiran’ mereka.

Hari ini sekiranya DeWitt dan Lila masih ada, mereka pasti terlalu sedih dan tidak sanggup melihat manifestasi cinta waktu remaja itu diniagakan sedemikian rupa di Wall Street. Tetapi mereka telah tiada. Reader’s Digest terpaksa mengikut rentak tuan baharunya yang menjadikan majalah ini lubuk emas demi memuaskan kerakusan dan tamak. – UTUSAN

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×