UiTM dan PTPTN jalin kerjasama strategik tingkat literasi kewangan.

Kerjasama strategik UiTM, PTPTN tingkat literasi kewangan, keusahawanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjalinkan kerjasama strategik bagi meningkatkan literasi kewangan dan keusahawanan.

Kedua-dua institusi tersebut menandatangani perjanjian Memorandum Persefahaman (MOU) di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak, hari ini.

Dalam kenyataan bersama, UiTM dan PTPTN berkata, MoU itu diharapkan dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam membudayakan penabungan awal melalui simpanan pendidikan.

Kerjasama itu juga, jelasnya, diharap dapat membangunkan modal insan kepada pelajar UiTM melalui inisiatif program kemahiran yang berkualiti agar graduan UiTM memenuhi keperluan industri apabila tamat pengajian nanti.

Dalam majlis tersebut, UiTM diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Ts. Dr. Roziah Janor, manakala PTPTN diwakili Ketua Eksekutif, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Turut dihadiri oleh Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof Datuk Dr. Jamil Hamali dan Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd. Khalid.

“Melalui MoU ini, UiTM dan PTPTN juga akan berganding bahu menjalankan program-program literasi kewangan dan keusahawanan dalam kalangan pelajar.

“Literasi kewangan dan keusahawanan amat penting khususnya untuk generasi muda. Kegagalan merancang kewangan boleh menyebabkan golongan muda menghadapi masalah kewangan dalam kehidupan,” jelasnya dalam kenyataan tersebut.

Jelas kenyataan itu lagi, program keusahawanan pula menggalakkan pelajar untuk menubuhkan perniagaan sendiri yang boleh menjadi sumber pendapatan utama tanpa perlu bergantung kepada pekerjaan dalam sektor kerajaan atau swasta yang amat sengit persaingannya.

Antara aktiviti yang bakal dijalankan ialah seminar dan webinar pengurusan kewangan serta taklimat kerjaya untuk melahirkan pelajar yang lebih berkualiti dan memenuhi kehendak industri. Aktiviti juga tidak terhad kepada pelajar sahaja malah meliputi graduan dan alumni UiTM.

“Selain itu, kerjasama penyelidikan khususnya dalam bidang kewangan juga akan dijalankan oleh UiTM dan PTPTN. UiTM memang telah lama diakui memiliki kekuatan kepakaran dalam bidang pengurusan perniagaan dan kewangan, manakala PTPTN mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan pinjaman pelajar, menjadikan kerjasama penyelidikan tersebut mampu menghasilkan idea-idea baharu khususnya dalam bidang perancangan kewangan,” jelasnya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×