Pemimpin Bersatu didakwa tipu tarikh jadi ahli - Utusan Malaysia

Pemimpin Bersatu didakwa tipu tarikh jadi ahli

kartel
MUKHRIZ MAHATHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terdapat ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang didakwa menipu tarikh keahlian masing-masing kerana mahu bertanding dalam pemilihan parti tersebut sehingga menimbulkan masalah termasuk melantik pemimpin yang tidak ada pengalaman.

Tindakan itu, dakwa bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berlaku sejurus Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan menyebabkan lembaga disiplin parti tersebut ‘sangat sibuk’ kerana terpaksa menumpukan lebih masa untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Beliau menjelaskan, penipuan tarikh pendaftaran keahlian dalam kalangan ahli Bersatu itu, dilakukan susulan perlembagaan parti yang menetapkan mana-mana individu yang mahu bertanding sebarang pemilihan dalaman parti, haruslah mempunyai rekod keahlian lebih satu tahun.

Kesannya, terdapat ahli baharu parti yang datang daripada UMNO telah menganjak tarikh mula-mula menjadi ahli dan seterusnya bertanding dalam pemilihan, sehingga mengakibatkan ramai calon yang naif dan tidak arif soal percaturan dalaman akhirnya ‘tersungkur’.

“Kalau kita lihat, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu (MPT), ia lantikan saja sebelum ini. Mereka ini banyak yang tiada pengalaman dalam parti pun sebelum ini. Tetapi kemudian masa masuk pemilihan, berapa ramai yang tersungkur? Sebab mereka tak tahu, tak biasa dengan suasana pemilihan parti,” katanya dalam wawancara khas bersama Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Bersatu

Mukhriz yang kini Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendakwa, susulan pemilihan peringkat dalaman Bersatu yang dikuasai cara pemilihan UMNO yang menggunakan wang ringgit dan pengaruh dalam kalangan kelompok pengikut masing-masing, mengakibatkan timbulnya penyakit ‘hulubalang’ (warlord) dalam parti tersebut yang kini menular sehingga ke peringkat bahagian.

“Masa kami mula-mula tubuhkan Bersatu sebelum PRU14, semangat juang Bersatu sangat tinggi, sebab kita pembangkang waktu itu dan tiada apa yang boleh dijanjikan. Namun selepas PRU14, penyakit warlord sudah mula menular dalam Bersatu,” dakwanya.

Dalam pada itu, beliau menolak saranan Pengarah komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad agar Perikatan Nasional (PN) tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan memberi laluan kepada pembangkang menentang UMNO serta Barisan Nasional (BN) dalam pertembungan dua penjuru.

Katanya, percaturan sebegitu sudah tidak relevan, malah banyak bukti menunjukkan ia tidak berjaya menjadi kenyataan.

“Saya tahu ada pihak bercakap, kalau pembangkang boleh duduk semeja menyatukan kekuatan, kita akan menjadi pencabar yang serius kepada UMNO dan BN khususnya kalau kita tolak tepi PN. Tetapi saya rasa, politik negara kita ini sudah kena keluar daripada percaturan macam itu. Sebab dah banyak formula dilaksanakan, Melaka, Sarawak, semuanya tak menjadi pun,” katanya.

Sebelum ini, Khalid dalam satu kenyataan mencadangkan agar PN memberi laluan pembangkang bertembung dengan UMNO-BN dalam pertembungan satu lawan satu dalam PRN Johor, yang menurutnya boleh menjadi formula kekalahan UMNO. – UTUSAN

Wawancara penuh muka surat 12 dan 13

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×