Tambah RM300 juta lagi untuk sambung Lebuh Raya Rakyat - Utusan Malaysia

Tambah RM300 juta lagi untuk sambung Lebuh Raya Rakyat

MUSTAPA Mohamed melihat peta laluan Lebuh Raya Rakyat dalam lawatan beliau di tapak projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KB-KK) di Kok Lanas, Kota Bharu hari ini. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Pusat meluluskan sebanyak RM300 juta lagi untuk penyambungan projek Lebuh Raya Rakyat Kelantan dari Bukit Tiu ke Kampung Berangan Mek Nab di Machang dengan jarak sejauh 10 kilometer.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, peruntukan itu diluluskan di bawah projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bermula April depan dan dijangka siap dalam tempoh 36 bulan iaitu pada April 2025.

“Sebelum ini, Kerajaan Negeri Kelantan telah menyiapkan sebanyak 35 peratus laluan ini yang dipanggil Lebuh Raya Rakyat. Selepas perjumpaan antara Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri baru-baru ini, kita bersetuju untuk sambung 10 kilometer lagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi, Kerajaan Pusat akan mengambil alih projek ini termasuk tender dan akan memulakannya dalam masa dua bulan akan datang,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat tapak projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KB-KK) di Kok Lanas, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantanm Datuk Azami Mohd. Nor.

Projek Lebuhraya KB-KK di Kok Lanas bersambung dengan projek Central Spine Road (CSR) yang bermula di Kuala Krai meliputi tujuh pakej dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM 2.7 bilion.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, laluan Ketereh-Kok Lanas yang sepatutnya siap pada 29 Mac ini mengalami kelewatan sebanyak 15 peratus dan tarikh baharu dijangka siap adalah pada Oktober depan.

“Projek sepanjang 6.2 kilometer ini sebenarnya tiada masalah, namun difahamkan kontraktor berdepan banyak kekangan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini di samping masalah pengambilan tanah serta kenaikan kos bahan binaan.

“Setakat ini, tiada kos tambahan dalam projek itu dan ia masih dalam bajet kos asal iaitu RM200 juta. Pelaksanaannya setakat ini pula telah menelan belanja sebanyak RM168 juta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini