Lemas: Ibu terkilan anak tak sempat sambung belajar - Utusan Malaysia

Lemas: Ibu terkilan anak tak sempat sambung belajar

ZAINAB Mohamad menunjukkan gambar Ahmad Solihin Ishak yang ditemukan lemas di Sungai Dungun berhampiran Kampung Rajawali, di Dungun hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Hasrat seorang pemuda untuk menyambung pengajian peringkat ijazah tidak kesampaian selepas mayatnya ditemukan di Sungai Dungun berhampiran Kampung Rajawali, di sini hari ini.

Mayat Ahmad Solihin Ishak, 22, dari Kampung Sura Gate ditemukan kira-kira 700 meter daripada lokasi dia dilaporkan hilang, kira-kira pukul 9.25 pagi.

Ibunya, Zainab Mohamad, 57, berkata, anak ketujuhnya itu merupakan lepasan Diploma Reka Bentuk di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kuantan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebelum ini, dia bekerja sementara di Johor tetapi berhenti kerana mahu menyambung ijazah. Walaupun belum mendaftar, tetapi anak saya sudah membuat persediaan untuk mengambil peperiksaan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET),” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam, Ahmad Solihin dikatakan pergi ke sungai berkenaan untuk mandi, namun tidak pulang hingga ke malam.

Zainab berkata, sebelum kejadian, mangsa memaklumkan mahu ke rumah neneknya di Kampung Rajawali dengan menunggang basikal sejauh kira-kira 10 kilometer.

Katanya, dia terkejut mengetahui berita anaknya mandi sungai daripada ahli keluarga gara-gara panas.

Jenazah Ahmad Solihin dikebumikan berhampiran pusara bapanya yang meninggal dunia kira-kira 12 tahun lalu di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini