KUALA TERENGGANU: Gangguan bekalan kit ujian pantas (RTK) antigen di pasaran hanya melibatkan premis yang menjual barangan berkenaan pada harga rendah.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pemantauan dijalankan pihaknya mendapati bekalan masih mencukupi di premis-premis lain.
Sehubungan itu katanya, rakyat tidak perlu bimbang kerana terdapat kira-kira 18 juta bekalan RTK antigen di pasaran.
“Kekurangan barangan itu hanya di tempat yang menjual pada harga murah daripada harga siling misalnya di bawah RM10 dan RM5.
“Jadi isu tidak cukup bekalan itu sebenarnya tidak timbul,” katanya katanya dalam sidang akhbar selepas Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Batu Hampar, Manir di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan isu kekurangan bekalan RTK antigen di pasaran ketika ini dijangka pulih dalam masa terdekat selepas pengimport menerima bekalan dari China.
Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Azman Adam berkata, pada masa sama, pengeluaran RTK antigen oleh kilang-kilang tempatan juga akan dipertingkatkan bagi memenuhi permintaan pengguna lebih-lebih lagi dalam situasi kes Covid-19 yang sedang meningkat ketika ini.
Sementara itu, Rosol menasihatkan pengguna agar membeli RTK antigen yang berlabel Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) bagi memastikan ketulenan barangan tersebut. – UTUSAN











