KUALA TERENGGANU: Golongan peniaga disaran melakukan kawalan kendiri bagi memastikan bekalan barangan seperti telur dan minyak masak bersubsidi tidak terputus menjelang bulan Ramadan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, langkah menetapkan pembelian minimum bagi setiap pelanggan itu sememangnya sudah diamalkan rata-rata peniaga kini.
“Saya difahamkan ada tempat yang mengehadkan dua minyak masak peket kepada pelanggan mereka.
“Bagaimanapun, kebimbangan kita adalah telur tetapi saya difahamkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sudah mengambil usaha untuk memastikan bekalan mencukupi menjelang bulan puasa,” katanya katanya dalam sidang akhbar selepas Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Batu Hampar, Manir di sini hari ini.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan bekalan ayam dan telur dijamin mencukupi sehingga ke bulan Ramadan dan perayaan Aidilfitri susulan subsidi harga yang diperkenalkan kerajaan baru-baru ini.
Dalam pada itu, Rosol berkata, kementeriannya akan memperhebatkan pelaksanaan Op Indah di premis-premis restoran dan hotel sekiranya cadangan pembukaan pintu sempadan negara dibenarkan pada 1 Mac ini.
Katanya, langkah itu bagi memastikan tiada unsur-unsur pencatutan dalam kalangan peniaga. – UTUSAN











