Rekaan dekorasi kediaman dan aksesori berasaskan batik memberikan sentuhan mewah dan klasik.
Biarpun dunia semakin moden, namun motifnya masih lagi relevan dalam menghidupkan seni dalam sesuatu aksesori.
Asiaspark, pemain industri kraf ini antara salah satu entiti yang masih memperjuangkan seni berkenaan dengan menghasilkan pelbagai aksesori.
Antara yang dihasilkan adalah hiasan dalaman rumah seperti sarung kusyen, alas meja, pelapik cawan dan mangkuk, lampu tidur dan hiasan dinding.
Pengasasnya, Mohd. Yusof Zaki Yaacob, berkata perniagaan dijalankan sejak 2013 itu memfokuskan kepada batik dan shibori.
Selain mempunyai minat mendalam terhadap seni ini, motif utama penghasilan kraf tradisi itu juga adalah untuk mewujudkan penggunaan seni batik yang bervariasi.
“Dahulu susah hendak dapatkan barangan deko atau aksesori batik, jadi saya buatnya untuk kegunaan diri sendiri.
“Tetapi selepas itu ramai pula yang suka dan mula membuat tempahan. Dari situ bermula idea menjual,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain hiasan dalaman rumah, antara kraf dihasilkan adalah aksesori harian seperti beg tote, beg syiling, baju, tudung, pemegang kunci dan sebagainya. Yusof berkata, karya kreatif itu turut juga bertujuan menarik minat generasi muda terhadap kesenian melayu lama itu.
Malah menurutnya, batik melambangkan seni Melayu lama dalam menceritakan sesuatu adat yang perlu diperhalusi dan diwarisi generasi seterusnya.
“Generasi baharu memang kurang minat batik, jadi kami olah ia kepada sesuatu yang moden dan kontemporari.
“Kerana seni melayu lama ini jika ia tidak dipertahankan, lama-kelamaan ia akan pupus,” ujarnya.
Tambahan, material yang digunakan juga premium dan boleh diubah suai mengikut permintaan pelanggan.
Bagi menghasilkan kualiti terbaik, tiga jenis batik digunakan iaitu Blok Kelantan, Cetakan Terengganu dan Celup teknik Shibori yang dihasilkan sendiri.
“Penggunaan kualiti mengikut permintaan pelangan dan kualiti kami antara yang terbaik di pasaran.
“Kain yang paling baik untuk hasilkan batik adalah yang tinggi kandungan kapas supaya dapat menyerap warna lebih baik,” katanya.










