PRN Johor: Sah diajak Warisan tapi masih pertimbang - Utusan Malaysia

PRN Johor: Sah diajak Warisan tapi masih pertimbang

MAZLAN BUJANG pada PRN Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang mengesahkan menerima ajakan untuk bersama Parti Warisan Sabah (Warisan) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih mengambil pendekatan untuk tunggu dan lihat sebelum membuat keputusan menyertai parti dari Sabah itu.

“Ajak bersama dan bukan tawaran, tetapi banyak perkara perlu saya fikir dan pertimbangkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini kerana apabila saya beritahu yang saya sokong Menteri Besar Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad, orang cakap saya nak masuk UMNO dan macam-macam orang fitnah.

“Jadi saya tunggu dan lihat supaya tak ramai orang buat dosa kerana politik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu dijangka menyertai Warisan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Hal itu terbongkar selepas gambarnya dipaparkan seketika di skrin besar semasa Majlis Pelancaran Parti Warisan Johor, di Taman Sutera, Selasa lalu.

Mazlan sebelum ini mengumumkan untuk keluar Bersatu berkuat kuasa serta-merta pada 27 Januari lalu dengan membawa bersama 23 orang yang terdiri daripada Ketua Cawangan dan Ahli Jawatankuasa Bersatu Bahagian Tebrau.

Beliau pada ketika itu mengambil pendekatan tidak menyertai mana-mana parti dan memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

Berhubung penyertaannya dalam pelancaran Warisan itu, beliau berkata, perkara itu hanya disifatkan untuk meraikan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Katanya, ini berikutan beliau menghormati Presiden Warisan itu sebagai sahabat lama meskipun berlainan parti atau aliran politik.

“Saya menghormati sahabat lama dalam UMNO untuk mengiringi Shafie turun kempen.

“Saya hanya meraikan, saya masih ramai kawan dalam DAP atau parti lain, jika mereka panggil saya datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×