Pada akhir surah al-Fath ayat 29, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Nabi Muhammad SAW ialah Rasulullah. Dan orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang kafir yang memusuhi Islam dan sebaliknya bersikap kasih dan sayang serta belas kasihan sesama sendiri.
Kandungan ayat ini memperihal tentang Nabi SAW iaitu Rasulullah dan menceritakan sikap sahabat r.a yang istiqamah beribadat kepada Allah SWT.
Selain itu ayat ini juga menceritakan detik mula dakwah Nabi SAW yang diumpamakan seperti tunas yang tumbuh yang kemudian membesar dengan subur. Seterusnya menjadi kukuh dan tegak sehingga orang yang menanamnya merasa takjub dan kagum. Itulah bandingan Islam yang berkembang ke serata dunia pada hari ini.
Satu faktor universal dakwah Islam ke serata dunia adalah Nabi Muhammad SAW itu sendiri yang membawa risalah Islam. Akhlaknya terpuji, sikapnya lunak dan jiwanya besar.
Ia dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Maka dengan sebab rahmat yang melimpah daripada Allah kepada mu wahai Muhammad engkau telah bersikap lemah lembut kepada para sahabat dan pengikut mu. Dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari keliling mu. (ali-‘Imran: 159)
Sheikh Abdul Hamid Kisyk ialah seorang khatib yang cacat penglihatan dan amat masyhur di Mesir satu ketika dahulu. Khutbahnya mendapat sambutan ramai kerana ilmunya yang luas dan penyampaiannya yang bersemangat. Kandungan khutbahnya sarat dengan ilmu, nasihat dan kupasan isu semasa ketika itu berdalilkan kepada rujukan yang sesuai. Beliau meninggal dunia ketika sujud dalam solat sunat sebelum ke masjid untuk solat Jumaat pada 6 Disember 1996.
Dalam satu khutbahnya berkaitan akhlak Rasulullah SAW, beliau memberi analogi yang menarik dengan membandingkan keadaannya dengan Nabi SAW seperti seorang musafir dengan bulan. Beliau menceritakan kisah seorang musafir melalui padang pasir di waktu malam yang gelap gelita.
Orang yang bermusafir itu merasa berputus asa untuk meneruskan perjalanan. Tiba-tiba muncul bulan yang penuh dengan cahaya menerangi padang pasir.
Betapa gembiranya beliau dan bersyukur dengan anugerah cahaya sehingga berkata memuji bulan: “Apa yang patut aku katakan kepadamu wahai bulan? Adakah aku patut kata sesungguhnya kamu bercahaya sedangkan Allah telah anugerahkan cahaya kepada kamu. Adakah patut aku berkata tingginya kamu sedangkan Allah telah letak kamu di tempat yang tinggi. Adakah patut aku berkata kamu cantik sedangkan Allah telah berikan kecantikan kepadamu”.
Sheikh Abdul Hamid Kisyk berkata: “Apakah yang patut aku kata kepadamu wahai Rasulullah? Apakah patut aku berkata semoga Allah memberi cahaya kepada kamu wahai Rasulullah sedangkan Allah SWT telah nyatakan dalam al-Quran: Sesungguhnya telah datang kepada kamu wahai manusia, cahaya kebenaran iaitu Nabi Muhammad SAW dan kitab yang nyata iaitu al-Quran. (al-Maidah: 15)
Adakah patut aku berkata kepada kamu semoga Allah mengangkat kedudukan kamu sedangkan Allah SWT telah nyatakan: Dan Kami telah meringankan beban mu menyampai dakwah. Yang memberati tanggungan mu. Dan Kami telah meninggikan bagi mu sebutan nama mu dengan mengurniakan pelbagai kemuliaan. (al-Syarh:2-4)
Firman Allah SWT lagi: Adakah patut aku berkata semoga Allah mencantikkan kamu sedangkan Allah SWT telah nyatakan: Wahai Nabi sesungguhnya Kami mengutus mu sebagai saksi terhadap umat mu dan pembawa berita gembira kepada orang yang beriman serta pemberi amaran kepada orang yang ingkar. Dan juga sebagai penyeru kepada agama Allah dengan taufik yang diberinya dan sebagai lampu yang menerangi. (al-Ahzab:45-46)
Allah SWT telah memberi penyaksian kepada Nabi Muhammad SAW: Sesungguhnya engkau wahai Muhammad tetap beroleh pahala yang amat besar yang tak putus-putus sebagai balasan bagi menjalankan ajaran Islam. Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia. (al-Qalam: 3-4)
Dalam ayat di atas, Allah SWT tidak menyebut kamu wahai Muhammad mempunyai harta yang banyak, mempunyai kemegahan yang berpengaruh atau kecantikan yang menawan tetapi Allah nyatakan kamu wahai Muhammad mempunyai akhlak yang sangat mulia.
AKHLAK MULIA
Akhlak mulia Rasulullah SAW tetap sama sepanjang hidupnya walau apa situasi dan keadaan. Berlainan dengan sebahagian manusia di mana akhlak mereka berubah-ubah.
Di saat susah dan merempat mereka berakhlak dengan baik pergi ke surau dan masjid bersolat dan berdoa. Berhubung dengan sanak-saudara dan rakan taulan meminta bantuan. Namun selepas dapat nikmat kemewahan harta atau pangkat, sikap mereka berubah. Tidak lagi mengenali halaqah ilmu di masjid, surau dan tidak lagi mengenali rakan taulan yang membantu semasa susah dahulu.
Sheikh Sya’rawi mengulas maksud ayat terakhir surah al-Taubah yang bermaksud: Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul yang dari golongan kamu sendiri iaitu Nabi Muhammad SAW yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu. Dan dia sangat inginkan kamu kebaikan bagi kamu.. (al-Taubah: 128)
Beliau mengulas, kesusahan yang ditanggung oleh kamu itu ialah taklif iaitu arahan dan larangan yang Allah wajibkan. Kesusahan laksanakan taklif ini akan berakhir dengan berakhirnya dunia. Dan ketika itu orang mukmin akan ke syurga dan hidup tanpa sebarang taklif lagi. Dia akan rasa sesuatu yang tidak pernah terfikir dalam benaknya untuk dapatkan nikmat sama ada makanan atau minuman dan apa sahaja yang Allah kurniakan kepada penghuni syurga.
Semoga sayang dan kasih kepada Nabi SAW terus mekar dengan berselawat dan memahami hadis.
Penulis ialah Prof Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.










