SEJAK dahulu, madu dikenali oleh manusia sebagai satu daripada ubat atau penawar penyakit.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah, hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan manusia. Kemudian makanlah segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu.” (Dengan itu) akan keluarlah daripada badannya minuman (madu) berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (daripada pelbagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (membuktikan kemurahan Allah) bagi orang mahu berfikir.” (an-Nahl: 68-69)
Memetik sebuah buku bertajuk ‘Allah Doktorku, Wahyu Ubat Penyakitku’ hasil tulisan Mukhlas Asy-Syarkani Al-Falahi, madu merupakan ubat bagi segala penyakit kerana mudah dicerna, membantu pembentukan darah dan membunuh bakteria.
Malah, pelbagai kajian tentang manfaat madu termasuk pandangan ulama silam seperti Ibnu Sina yang lengkap dengan kajian moden membuktikan madu merupakan ubat untuk pelbagai penyakit sebagaimana dinyatakan dalam wahyu.
Menurut Ibnu Sina, bapa perubatan Islam menyakini madu boleh mencegah serangan jantung. Oleh itu, beliau menasihati orang ramai agar membiasakan diri dengan madu.
Menurut penulis buku itu lagi, seorang pakar dari Pusat Pengkajian Madu Kementerian, Perancis, mengakui bahawa madu berkesan mengubati penyakit jantung.
Pada 1950, seorang pakar kajian tentang madu terhadap penyakit jantung menemui kelebihan makanan sunah tersebut apabila mampu mengembangkan pembuluh jantung selepas disuntik dengan madu dan kesannya lebih lama pada waktu kecut tetapi alirannya lebih baik ketika kembang.
Justeru, Mukhlas Asy-Syarkani menyarankan agar mereka yang menghidapi masalah jantung untuk menyapukan madu dan serbuk kulit kayu manis pada roti sewaktu sarapan pada setiap hari.
Menurutnya, madu dan kayu manis dapat mengurangkan kolesterol dan risiko serangan jantung.
SUMBER Buku: Allah Doktorku, Wahyu Ubat Penyakitku










