561 dicekup dalam Op Ice Breaker di Sarawak - Utusan Malaysia

561 dicekup dalam Op Ice Breaker di Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Sebanyak 561 individu diberkas dalam Op Ice Breaker yang dijalankan di Sarawak sejak 29 Julai hingga semalam.

Portal Utusan Borneo melaporkan, operasi tersebut menyasarkan lokasi yang dikenal pasti sebagai sarang penagih dan pengedar dadah di seluruh negeri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Superintenden Sahar Abd. Latif berkata, daripada jumlah itu, 532 individu adalah lelaki manakala 29 lagi wanita ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Operasi besar-besaran JSJN dilancarkan serentak di seluruh Malaysia termasuk Kontinjen Sarawak.

“Antara tujuan operasi ini adalah untuk mengekang kawasan yang telah dikenal pasti sebagai sarang penagih dan pengedar yang ada menjalankan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang mana seramai 561 individu diberkas dalam operasi yang dijalankan serentak sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Sahar memberitahu, sebanyak 29 orang ditangkap disyaki pengedar dan 129 orang memiliki bahan terlarang itu.

“Selain itu, sebanyak 376 lelaki dan 23 wanita yang ditahan didapati positif dadah selepas ujian saringan air kencing dijalankan manakala sembilan lagi ditahan di bawah ADB Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985,” jelasnya.

Mengenai rampasan dadah sepanjang operasi itu, Sahar memaklumkan sebanyak 245.71 gram dadah jenis syabu, 4.76 gram ganja dan 4,327 biji pil nospan dirampas.  

“Nilai dadah yang dirampas keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM39,163.50 dan kita turut menyita dua kereta yang dianggarkan bernilai RM35,000.

“JSJN Sarawak sentiasa mengambil langkah proaktif dalam usaha memantau, mengesan dan mengekang segala aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini