Dadah RM1.4 juta disorok di ruang ibadat - Utusan Malaysia

Dadah RM1.4 juta disorok di ruang ibadat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN – Satu sindiket pengedaran dadah yang didalangi seorang lelaki yang bergerak bersendirian tumpas selepas polis menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Bukit Tengah, Bukit Mertajam dekat sini pada Rabu lalu.

Dalam Ops Ice Breaker kira-kira pukul 2.20 petang itu, polis menahan suspek berusia 54 tahun bersama sejumlah dadah bernilai kira-kira RM1.14 juta.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, pihaknya menemui dadah disyaki heroin dan syabu selain pil ekstasi yang disorokkan di tempat ibadat yang berada di dalam rumah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, pihak polis terlebih dahulu menahan suspek di pekarangn rumahnya dan menemui bersamanya sebanyak 78.6 gram dadah disyaki heroin bernilai kira-kira RM4,000.

“Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui dadah disyaki syabu seberat kira-kira 15.3 kilogram bernilai RM760,120 yang disembunyikan di ruang ibadat di bahagian belakang rumah suspek.

“Selain itu, sebanyak 12,650 biji pil ekstasi bernilai RM379,500 turut ditemui di tingkat atas rumah tersebut yang disewa oleh suspek,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Tambah beliau, pihak polis turut menyita sebuah kereta jenis Audi A6 bernilai RM80,000 serta pelbagai peralatan termasuk mesin untuk memproses dadah.

Menurut Roslee lagi, siasatan pihaknya mendapati suspek turut memiliki sembilan rekod jenayah kebanyakannya berkait kes dadah selain positif dadah jenis methaphetamine.

Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Rabu ini bagi siasatan lanjut.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini