CARDIFF – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer melantik tonggak veteran, Ashley Young untuk menggalas tanggungjawab sebagai kapten baharu pasukan itu bagi menghadapi saingan musim baharu nanti.
Peranan ketua pasukan di Old Trafford menjadi persoalan selepas seorang lagi tonggak veteran, Antonio Valencia memilih untuk meninggalkan pasukan itu pada hujung saingan musim lalu sekali gus menyaksikan beberapa nama disebut-sebut sebagai calon pengganti.
Meskipun penjaga gol, David De Gea menyarung lilitan kapten sewaktu seri 2-2 menentang AC Milan di Stadium Millennium awal pagi semalam, namun Solskjaer menegaskan, Young akan mengetuai pasukan apabila diturunkan dalam kesebelasan utama.
“David (De Gea) memang berada dalam senarai untuk dilantik sebagai kapten. Bagaimanapun, sekiranya Young diturunkan, maka dia akan menggalas tanggungjawab mengetuai pasukan di atas padang,” kata Solskjaer.
Situasi itu pernah berlaku di United apabila Nemanja Vidic lebih banyak mengetuai pasukan di atas padang biarpun Gary Neville ialah kapten sebenar United memandangkan dia kerap menghabiskan masanya di bangku simpanan.
Young, 34, dilihat sebagai calon terbaik disebabkan pengalaman luasnya bersama United sejak berhijrah daripada Aston Villa pada tahun 2011 selain turut berada dalam skuad England.
Pemain pertahanan itu sudah membuat 243 penampilan bersama United dalam semua kejohanan dengan meledak 18 gol. – Agensi











