IPOH 5 Ogos – Jurulatih Perak, Mehmed Durakovic
berpuas hati dengan persembahan para pemainnya
apabila memulakan kempen mempertahankan Piala
Malaysia dengan kemenangan 3-0 ke atas Sabah di sini semalam
Menurutnya, beliau bangga dengan semangat yang
dipamerkan oleh pemain apabila menguasai perlawanan sejak awal permainan.
“Kami menghormati Sabah dan kemenangan ini banyak
dibantu dengan penguasaaan kami pada bahagian
tengah.
“Penguasaan kami ketara pada babak kedua apabila
pemain mempamerkan permainan pada kelas yang
berbeza,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan
semalam.
Dalam saingan Kumpulan C Piala Malaysia semalam,
juara bertahan, Perak memperoleh gol menerusi jaringan Brendan Gan (minit ke-45), Careca (minit ke-50) dan Leandro Dos Santos (minit ke-90).
Sementara itu, jurulatih Sabah, Jelius Ateng akur
dengan kekalahan pasukannya dengan menyifatkan anak
buahnya terlalu menghormati pasukan lawan.
Katanya, selain itu, pemainnya juga kurang fokus pada bahagian tengah terutama pada babak kedua sehingga membenarkan pemain Perak melakukan gerakan sehingga ke depan pintu gol pasukannya.
“Pemain pertahanan juga keletihan kerana sering mendapat tekanan daripada penyerang Perak.
“Kami belajar daripada kekalahan ini untuk perlawanan seterusnya supaya kami dapat kekal dalam saingan Piala Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE











